19 October 2007

Cuepacs mahu BPR perjelas isu hadiah

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Cuepacs mahu Badan Pencegah Rasuah (BPR) memberi takrifan lebih jelas mengenai kategori yang boleh dianggap menjurus kepada rasuah berhubung pemberian dan penerimaan hadiah pada musim perayaan.

Presidennya, Omar Osman, berkata Cuepacs berpendapat penerimaan dan pemberian hadiah atau hamper secara terbuka pada musim perayaan tidak boleh dikaitkan dengan unsur rasuah.

Katanya, pelbagai cara lebih halus sama ada secara langsung atau tidak boleh dilakukan seperti berbentuk penajaan makan minum untuk sesuatu kumpulan atau program.

“Kalau pemberian atau penerimaan hadiah itu dibuat secara berselindung seperti hantar terus ke rumah, ke dalam kereta, dalam bilik ketua jabatan atau di tempat tidak diketahui umum, itu kita tidak setuju kerana boleh dipertikaikan maksudnya.

“BPR perlu teliti dalam hal ini (mengaitkan dengan rasuah) dan jangan melihat kepada penjawat awam saja. Masih banyak bentuk rasuah lain perlu diberi perhatian untuk dibanteras,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Berita Harian melaporkan kira-kira 80 peratus daripada 103 pertanyaan yang dikemukakan ke Pusat Khidmat Nasihat Pemberian dan Penerimaan Hadiah BPR, dinasihatkan supaya tidak memberi atau menerima hadiah kerana didapati menjurus kepada perlakuan rasuah.

Ibu Pejabat BPR juga menasihat mereka terbabit memulangkan semula hadiah yang diterima selepas mendapati perbuatan itu menyalahi Pekeliling Perkhidmatan 1993.

Pusat itu ditubuhkan berikutan BPR menerima banyak pertanyaan dan kemusykilan daripada orang ramai berhubung status sesuatu pemberian atau hadiah yang mereka terima sepanjang musim perayaan.

Pusat itu dikendalikan Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan Ibu Pejabat yang boleh dihubungi menerusi panggilan atau SMS ke dua talian khas iaitu 019 6000103 dan 019 6000104, selain laman web BPR, www.bpr.gov.my dan e-mel, hadiah@bpr.gov.my.

No comments: