19 October 2007

IJN terima pesakit dari klinik swasta

Berita Harian

Oleh Azhar Abu Samah

Pesara, keluarga layak dapat rawatan percuma

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju membenarkan Institut Jantung Negara (IJN) menerima pesakit yang layak dirujuk oleh pakar perubatan umum atau pakar kardiologi daripada klinik atau hospital swasta berkuat kuasa 1 Oktober lalu.

Sebelum ini, IJN hanya menerima pesakit yang dirujuk oleh pakar perubatan klinik atau hospital kerajaan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, berkata pindaan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2001 dibuat bagi melaksanakan keputusan kerajaan menambah baik peraturan berkaitan kemudahan rawatan perubatan di IJN.

"Pindaan ini akan membolehkan pegawai perkhidmatan awam Persekutuan dan pesara perkhidmatan awam Persekutuan yang menerima pencen serta keluarga mereka yang berkelayakan mendapat rawatan percuma di IJN," katanya dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13 Tahun 2007 bertarikh 25 September 2007 yang dikeluarkan baru-baru ini.

Pekeliling sebelum ini menetapkan rawatan percuma di IJN boleh diberikan kepada anggota atau pesara yang sudah diperiksa dan dirujuk oleh pakar perubatan hospital kerajaan berdekatan tempat tinggal.

Sementara itu, dalam pekeliling berasingan, Ismail berkata, kerajaan bersetuju memperuntukkan kemudahan Cuti Menjaga Anak sebanyak 1,825 hari atau lima tahun sepanjang tempoh perkhidmatan kepada kakitangan wanita bagi membolehkan mereka menjaga anak.

Katanya, Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 14 Tahun 2007 itu yang berkuat kuasa 3 September lalu, sekali gus meminda peruntukan cuti selama 90 hari dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 1998 dan membatalkan pekeliling 1991.

"Kemudahan cuti ini tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan Ketua Setiausaha Kementerian (peringkat kementerian) atau ketua jabatan (negeri atau jabatan) selepas mengambil kira keperluan perkhidmatan supaya sistem penyampaian tidak terjejas, khususnya dalam perkhidmatan kritikal.

"Sekiranya wujud keperluan mendesak mendapatkan khidmat pegawai yang bercuti, ketua setiausaha kementerian atau ketua jabatan boleh pada bila-bila masa mengarahkan pegawai itu kembali bertugas dan mereka hendaklah mematuhinya," katanya.

Beliau berkata, tempoh cuti itu hanya boleh digunakan untuk menjaga anak dan tidak disalahgunakan untuk tujuan lain seperti melakukan pekerjaan yang dibayar upah.

Katanya, jika mereka didapati melanggar peraturan itu, mereka boleh dikenakan tindakan tata tertib berdasarkan Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tata Tertib) 1993.

Mengikut pekeliling terbaru itu, tempoh Cuti Menjaga Anak tidak diambil kira bagi tujuan pengiraan faedah persaraan atau pengiraan kelayakan kemudahan lain, hilang kekananan, tetapi boleh dipertimbang kenaikan pangkat.

No comments: