18 October 2007

Hadiah sempena hari raya menjurus rasuah

Berita Harian

Oleh Norfatimah Ahmad

BPR nasihat penjawat awam pulangkan pemberian kerana menyalahi pekeliling

KUALA LUMPUR: Kira-kira 80 peratus daripada 103 pertanyaan yang dikemukakan ke Pusat Khidmat Nasihat Pemberian dan Penerimaan Hadiah Badan Pencegah Rasuah (BPR), dinasihatkan supaya tidak memberi atau menerima hadiah kerana didapati menjurus kepada perlakuan rasuah.

Ibu Pejabat BPR, berkata pihaknya juga menasihatkan pemanggil supaya memulangkan semula hadiah yang diterima selepas mendapati perbuatan itu menyalahi Pekeliling kepada penjawat awam pada 1993.

Kata badan berkenaan, jumlah pertanyaan itu diterima sama ada menerusi panggilan telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau emel dalam tempoh seminggu selepas pusat khidmat nasihat itu ditubuhkan BPR pada awal bulan ini.

"Ada yang menghubungi kami sebelum, ketika dan selepas memberi atau menerima hadiah sempena musim perayaan kerana mereka bimbang perbuatan itu boleh menyebabkan mereka disabitkan kesalahan rasuah.

"Bagaimanapun, ada pengadu yang sudah menerima hadiah keliru dan bimbang dengan perbuatan mereka dan dinasihatkan supaya memulangkan hadiah itu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sebelum ini, BPR mengumumkan mengenai penubuhan Pusat Khidmat Nasihat Pemberian dan Penerimaan Hadiah untuk memberi khidmat nasihat kepada orang ramai mengenai sama ada sesuatu hadiah atau cenderamata yang diberi pada musim perayaan, dikategorikan sebagai rasuah.

Pusat yang akan dikendalikan Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan Ibu Pejabat BPR itu boleh dihubungi menerusi panggilan atau SMS ke dua talian khas iaitu 019-6000103 dan 019-6000104, selain laman web BPR, www.bpr.gov.my dan e-mel, hadiah@bpr.gov.my.

Pusat itu ditubuhkan berikutan pihaknya menerima banyak pertanyaan dan kemusykilan daripada orang ramai berhubung status sesuatu pemberian atau hadiah yang mereka terima sepanjang musim perayaan.

Mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan Seksyen 11 (a) Akta Pencegah Rasuah 1997 dengan jelas melarang pegawai awam atau swasta menerima hadiah yang bertujuan mendapat balasan atau keistimewaan membabitkan tugas dan kuasanya.

Selain itu, penjawat awam tertakluk kepada Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang melarang mereka menerima atau memberi hadiah jika berkaitan tugas awam.

Susulan itu juga, Pekeliling Bil 3 Tahun 1998 iaitu Garis Panduan Pemberian dan Penerimaan Hadiah Di Dalam Perkhidmatan Awam dikeluarkan sebagai panduan.

Ibu Pejabat BPR berkata, selain penjawat awam, kakitangan dan pegawai sektor swasta juga mengemukakan pertanyaan dan petugas pusat berkenaan cuba sebaik mungkin untuk menjelaskan status pemberian dan penerimaan hadiah.

No comments: