Kementerian patut urus kemasukan pekerja asing
Berita Harian
BERDASARKAN statistik yang dikeluarkan Jabatan Imigresen dan Bahagian Perangkaan Demografi Jabatan Perangkaan Malaysia, sehingga 30 Jun lalu jumlah pekerja asing di negara ini mencecah 1.91 juta dan dijangka bertambah melebihi dua juta orang menjelang akhir tahun ini, melebihi penduduk keturunan India yang mencatat 1.88 juta. Jumlah itu tidak termasuk lebih 400,000 pendatang asing yang dipercayai memasuki negara ini secara haram serta hampir 10,000 tahanan di depoh imigresen. Statistik Jabatan Imigresen juga menunjukkan pengambilan pekerja asing bertambah 7,000 orang setiap bulan walaupun Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendakwa kemasukan 48,000 orang sebulan atau 1,600 orang sehari. Walaupun pertambahan pekerja asing di negara ini disebabkan permintaan tinggi di kalangan majikan berdasarkan keperluan dalam sektor masing-masing, langkah tegas perlu diambil untuk memastikan kehadiran mereka yang kebanyakannya dikendalikan ejen dan orang tengah lebih sistematik supaya kejadian seperti pekerja terlantar di lapangan terbang, tidak mendapat gaji, dianiaya dan ditipu majikan tidak berulang. Justeru, cadangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) supaya Jabatan Tenaga Kerja (JTK) menerusi alih urusan kemasukan pekerja asing ke negara ini dan penggunaan ejen atau orang tengah dimansuhkan bagi mengelak pelbagai masalah, memang wajar dan kena pada masanya. Selama ini kemasukan mereka diuruskan oleh agensi yang sesetengahnya beroperasi atas nama orang politik dan berpengaruh. Kita percaya, JTK di bawah Kementerian Sumber Manusia mampu mengendalikan urusan kemasukan pekerja asing dengan lebih sistematik melalui pangkalan data dan rekod pemadanan keperluan guna tenaga dalam pelbagai sektor.
Kita percaya langkah menguruskan pengambilan pekerja asing antara kerajaan dan kerajaan adalah kaedah terbaik bagi mengatasi pelbagai masalah sekali gus menjadikan proses itu lebih telus dan terkawal. Pendekatan itu akan memastikan semua dokumen serta pendaftaran pekerja asing dapat dipantau secara bersepadu, selain mencegah penipuan oleh ejen sekali gus membanteras kemasukan pekerja haram. Jika urusan itu dilaksanakan agensi kerajaan sendiri, kadar kemasukan pekerja asing dapat diselaraskan mengikut keperluan negara dan tidak berlaku perlambakan pekerja asing yang sudah pasti menimbulkan masalah lain pula. Kita menerima hakikat bahawa perkembangan sektor perladangan, perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan serta dasar kerajaan yang liberal dari segi pasaran buruh menyebabkan majikan memberi pilihan utama kepada pekerja asing. Majikan swasta sudah tentu akan mengikut logik ekonomi iaitu apa saja yang akan mengurangkan kos akan diberi keutamaan. Soal kepentingan dan implikasi kepada sosio-ekonomi, keselamatan dan budaya masyarakat tempatan tidak menjadi faktor penting bagi kebanyakan majikan. Mahu tidak mahu, majikan swasta lebih suka memilih pekerja asing kerana kos lebih murah. Sementara kita mengalu-alukan kehadiran pekerja asing dalam pelbagai sektor untuk merancakkan ekonomi negara, majikan tempatan tidak harus mengetepikan kebajikan dan peluang pekerjaan rakyat tempatan. Mungkin ada majikan memberi alasan pekerja asing sanggup menerima gaji atau upah yang jauh lebih rendah berbanding rakyat tempatan. Kita percaya jika majikan mampu menyediakan upah dan kemudahan yang menarik, masalah mendapatkan pekerja di kalangan rakyat tempatan malah lepasan kolej dan universiti sekarang, tidak sesukar seperti yang digembar-gemburkan mereka.
No comments:
Post a Comment