19 October 2007

Tukar jabatan selepas 5 tahun

Berita Harian

Oleh Sariha Mohd Ali

PEKAN: Satu perubahan besar bagi memantapkan perkhidmatan kakitangan kerajaan negeri akan dilakukan bermula Januari tahun depan, apabila kakitangan yang berkhidmat lebih lima tahun di sesuatu jabatan akan ditukarkan ke jabatan lain.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Safian Ismail, berkata pertukaran kakitangan yang lama berkhidmat itu adalah antara perancangan yang akan dilakukannya bagi memperkemaskan pentadbiran kerajaan negeri yang banyak menerima rungutan sebelum ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima banyak aduan berhubung kelemahan di bahagian sistem penyampaian terutama di Pejabat Tanah Daerah.

Katanya, beliau akan membincangkan perkara itu dengan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob untuk mendapatkan persetujuan bagi mengambil tindakan segera.

"Perkara paling utama yang akan saya lakukan selepas ini ialah memperkemaskan pentadbiran negeri dengan meningkatkan sistem penyampaian kerana banyak aduan diterima mengatakan perkhidmatan kita lambat dan lembap.

"Saya akan membuat pertukaran kakitangan terutama mereka yang berkhidmat lebih lima tahun tetapi ia tidak membabitkan pertukaran daerah.

"Mereka hanya akan bertukar jabatan tanpa menjejaskan pangkat dan jawatan, tetapi tetap berkhidmat di daerah sama," katanya ketika ditemui Berita Harian selepas majlis pengurniaan surat cara pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri kepadanya oleh Sultan Pahang di Istana Abu Bakar, di sini semalam.

Pada majlis itu, Sultan Pahang turut menyampaikan surat cara pelantikan Pegawai Kewangan Negeri yang baru kepada Datuk Norzan Ahmad.

Turut hadir, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah; Adnan, Exco kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pahang.

Pelantikan Muhammad Safian, 54, menjadikannya Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang ke-20.

Beliau yang berkahwin dengan Datin Jamaliah Zainal Abidin, 53, adalah Pegawai Kewangan Negeri Pahang dan berkhidmat selama lapan bulan bagi jawatan itu, sekali gus menjadikannya Pegawai Kewangan negeri yang paling singkat.

No comments: