Anggota Rela dilindungi insurans
Utusan Online
PUTRAJAYA 16 Okt. - Sebanyak 100,000 anggota pasukan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) bakal mendapat perlindungan insurans kelompok bernilai RM20,000 setiap seorang bagi melindungi keselamatan mereka ketika mengikuti operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa.
Ketua Pengarah Rela, Datuk Zaidon Asmuni memberitahu, ketika ini pihaknya sedang mengenal pasti syarikat insurans bagi membekalkan perlindungan bernilai RM2 juta untuk keseluruhan anggota Rela.
“Kita mempunyai 481,120 anggota Rela di seluruh negara namun jumlah yang aktif adalah 100,000 orang sahaja dan kita kini sedang mengenal pasti nama mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di sini.
Menurut Zaidon, perlindungan insurans itu bertujuan membolehkan mereka mendapat perlindungan yang sewajarnya ketika menjalankan perkhidmatan kepada masyarakat.
“Apabila mereka keluar operasi, anggota Rela tidak dibekalkan dengan senjata api dan ini menyebabkan mereka terpaksa berhadapan dengan pelbagai rintangan dan dugaan.
“Terdapat kes melibatkan anggota Rela dipukul oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) hingga berdarah-darah, digigit malah dalam operasi baru-baru ini sebanyak tiga buah motosikal milik anggota Rela dibakar,” katanya.
Selama ini, katanya, masyarakat banyak didedahkan dengan cerita-cerita anggota Rela memukul PATI atau bertindak keterlaluan ketika operasi namun tidak ramai yang mengetahui mereka juga terdedah kepada bahaya.
No comments:
Post a Comment