16 October 2007

Hukum pegawai awam menyeleweng

Utusan Online

KENYATAAN Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang menyalah guna kuasa adalah dialu-alukan dan sememangnya sangat perlu.

Laporan Audit Negara yang mendedahkan kepincangan pengurusan perbelanjaan awam bukan perkara baru. Sebenarnya saban tahun laporan audit menunjukkan kepincangan pelbagai jabatan namun ia seperti mencurah air ke atas daun keladi.

Sesungguhnya negara yang mempunyai visi untuk memiliki status negara maju tidak seharusnya dilihat hanya dari kaca mata prasarana berkelas dunia. Kita perlu mampu melahirkan manusia pengurus dan pentadbir bersifat profesional sekali gus insan bermaruah tinggi.

Kepincangan dalam menguruskan perbelanjaan dan amanah awam akan menjadikan negara kita sebagai momokan dunia tatkala kita berbangga dengan menghantar seorang anak bangsa rakyat negara ini ke angkasa lepas tetapi gagal melahirkan manusia yang boleh berfungsi dengan selayaknya di ruang bumi sendiri.

Dengan sebab itu, kita tidak boleh bertolak ansur. Ini bagi memastikan segala pemegang jawatan kerajaan yang melibatkan pengurusan dan amanah wang rakyat tidak terus dibelenggu kepincangan yang disengajakan. Setelah 50 tahun merdeka kewujudan kepincangan yang ketara dalam mengurus pentadbiran negara adalah suatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

Kita mesti memahami implikasi besar kepada kepincangan yang dilapor dalam Laporan Audit Negara itu. Setiap kementerian dan agensi yang ditubuhkan mempunyai fungsi besar untuk memastikan kewangan yang dibelanjakan tidak ‘bocor’.

Ketika mana kita memandang ringan kepada kepincangan ini akan meninggalkan presiden yang serius kepada generasi mendatang. Jika pembetulan dan pemulihan tidak dilakukan segera ‘kudis’ penyalahgunaan kuasa akan bertukar menjadi ‘barah’ yang menunggu masa dan akhirnya melumpuhkan seluruh sendi negara.

Sia-sia

Sebab itu TERAS menggesa tindakan tegas terhadap penyelewengan tidak boleh ditangguh lagi. Mereka yang terlibat terutama yang memegang jawatan di peringkat tinggi dalam mana-mana agensi kerajaan tidak boleh dilepas begitu sahaja dengan teguran hanya di media.

Jutaan ringgit wang rakyat akan tersalur ke tangan mereka yang tamak dan tidak mempedulikan maruah bangsa.

Pengurusan yang umumnya diletak di tangan bangsa akan menjadi sia-sia apabila golongan petugas awam yang berada di kerusi pembuat keputusan melihat ini sebagai peluang untuk mengaut kemewahan melalui penyalahgunaan kuasa.

Oleh yang demikian perlu ada suatu tindakan yang tegas untuk menghukum mereka yang terlibat mengikut peraturan yang ujud.

Kita tidak berlaku zalim jika kita bertegas dalam mengambil tindakan kepada mereka yang cuai. Malah kita akan sebenarnya lebih zalim jika kemungkaran dalam bentuk kecuaian dan melanggar disiplin tidak dibanteras dengan bersungguh-sungguh.

TERAS mengalu-alukan kenyataan Ketua Setiausaha Negara itu tetapi ingin mengingatkan juga bahawa ketidakdisiplinan segelintir pegawai kerajaan tidak harus juga memejamkan mata kita kepada kepincangan dan penyelewengan golongan politik.

Sebenarnya gangguan dan campur tangan politik dalam pentadbiran yang keterlaluan sudah menjadi pengetahuan umum.

Salah guna kuasa melalui saluran politik jika tidak dibendung akan menyebabkan penyelewengan di peringkat agensi pelaksana menjadi-jadi. Ia bagaikan kesan rantai yang sambung menyambung dan susah dipulih.

Hanya dengan profesionalisme yang tinggi dan diiringi dengan integriti dan kejujuran yang mendalam dalam pentadbiran sahaja mampu membanteras penyelewengan yang berlaku.

Kita mengharapkan Laporan Audit akan datang tidak menyerlahkan kegagalan lagi.

– MOHD. AZMI ABDUL HAMID,

Presiden TERAS Pengupayaan Melayu.

No comments: