Dua pegawai Jabatan Laut digantung kerja
Utusan Online
Oleh HASHNAN ABDULLAH
PUTRAJAYA 16 Okt. – Dua pegawai Jabatan Laut Semenanjung Malaysia berpengkalan di jeti Mersing, Johor yang bertugas pada hari tragedi kebakaran feri Seagull Express di perairan Pulau Tioman Sabtu lepas telah digantung kerja serta-merta bermula hari ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy berkata, penggantungan kerja dua pegawai berpangkat Merinyu Kapal itu dibuat bagi membolehkan siasatan terperinci mengenai tragedi kebakaran feri tersebut dijalankan.
‘‘Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Zakaria Bahari juga diarah mengetuai satu jawatankuasa bagi menyiasat kemungkinan wujud kecuaian dan kelalaian di kalangan pegawai serta anggota lain Jabatan Laut Semenanjung berpengkalan di jeti Mersing dalam kejadian itu.
‘‘Jawatankuasa akan menyerahkan hasil siasatan kepada Kementerian Pengangkutan untuk tindakan selanjutnya bagi menentukan bentuk tindakan yang dapat diambil terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang didapati cuai atau lalai semasa menjalankan tugas,” kata Kong Choy pada sidang akhbar di pejabatnya di sini.
Kebakaran feri Seagull Express Sabtu lalu akibat kebakaran enjin berhampiran perairan Pulau Tioman mengorbankan empat penumpang dan menyebabkan kesemua 103 penumpang dan tiga krew terjun ke laut untuk menyelamatkan diri.
Dalam kejadian tersebut, sebahagian besar penumpang terjun ke laut tanpa jaket keselamatan yang dikatakan tidak cukup.
Sehingga kini, tiga penumpang dilaporkan hilang manakala 99 penumpang dan krew lain yang terjun ke laut diselamatkan oleh feri dan bot lain.
Pada sidang akhbar hari ini, Kong Choy turut mengalu-alukan saranan supaya Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat mana-mana pegawai Jabatan Laut berhubung kejadian tersebut.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pengusaha feri Seagull Express tidak memperbaharui lesen bot dan Sijil Penumpang yang masing-masing tamat tempoh 16 Mac 2006 dan 18 Mac 2005.
‘‘Bagi lesen bot, pengusaha feri itu tidak pernah memohon untuk memperbaharuinya manakala bagi Sijil Penumpang yang diwajibkan ke atas feri atau bot yang membawa penumpang melebihi 12 orang, permohonan syarikat itu telah ditolak kerana ia gagal mematuhi syarat khususnya yang berkaitan dengan keselamatan penumpang,” katanya.
Menteri Pengangkutan itu memberitahu, Ketua Pengarah Jabatan Laut Semenanjung Malaysia, Datuk Kapten Ahmad Othman akan mengetuai jawatankuasa khas yang akan menyiasat tragedi kebakaran feri Seagull Express itu yang dikatakan membawa lebih muatan.
1 comment:
harap pihak jabatan buat siasatan kepada merinyu kapal yang sesetengahnya mengambil rasuah pada agen2 kapal.mereka hidup mewah selama ini.harap pantau....
Post a Comment