11 May 2007

JPA mesti bijak tangani masalah


Kakitangan awam ingkar bayar PTPTN: Cuepacs gusar tindakan disiplin jejas sistem kerajaan

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membantu mencari kaedah menyelesaikan masalah kakitangan kerajaan yang tidak membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan bukan mengenakan tindakan tatatertib terhadap mereka.

Presidennya, Omar Osman, berkata JPA sepatutnya membantu kakitangan awam termasuk memanggil mereka dan menganjurkan sesi khas penerangan bayaran balik pinjaman.

Katanya, JPA juga boleh menganjurkan kepada jabatan dan agensi kerajaan membuat potongan gaji untuk kakitangan yang meminjam daripada tabung berkenaan.

“Saya berpendapat lebih baik cara penyelesaian diberikan perhatian dan bukan terus mengambil tindakan tatatertib kerana ia boleh mengganggu tugas kakitangan. Kerajaan pula rugi kerana pegawai digantung kerja boleh menggugat sistem penyampaian dan produktiviti perkhidmatan awam,” katanya dihubungi Berita Harian semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam, bahawa jabatan akan mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai kerajaan yang gagal menjelaskan pinjaman.

Katanya, tindakan itu boleh diambil kerana sikap tidak bertanggungjawab dan mengingkari perintah dianggap sebagai salah laku.

Omar berkata, kakitangan awam yang meminjam PTPTN tidak hanya membabitkan pegawai, tetapi kakitangan rendah.

No comments: