08 May 2007

Soalan PTK patut disedia ikut profesion

PENILAIAN Tahap Kecekapan (PTK) diperkenalkan pada 2003 selepas Skim Saraan Malaysia (SSM) menggantikan Sistem Saraan Baru (SSB) pada Oktober 2002. Tujuan utamanya ialah sebagai syarat kenaikan pangkat kakitangan awam dan untuk membolehkan mereka mendapat anjakan gaji. Bagaimanapun sejak dilaksanakan, banyak rungutan amat sukar untuk lulus PTK. Malah, tidak kurang mempersoalkan bentuk soalan peperiksaan yang tiada kena mengena langsung dengan tugas sesetengah kakitangan awam kerana ia banyak tertumpu kepada soalan berkisar Pekeliling Am kerajaan. Bagi kakitangan bawahan seperti kumpulan sokongan Gred 1 hingga Gred 16 yang kurang pengetahuan am dan penguasaan akademik kurang baik, PTK menjadi lebih sukar. Walaupun cemerlang serta mahir dalam bidang masing-masing sama ada sebagai tukang masak, tukang kebun, pemandu, atendan kesihatan atau pekerja am rendah, mereka tidak boleh dinaikkan pangkat selagi tidak lulus PTK.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) pula mendakwa kira-kira 70,000 guru bukan siswazah yang berkhidmat lebih 20 tahun, mungkin bersara tanpa berpeluang naik pangkat ekoran keengganan menduduki peperiksaan PTK kerana yakin tidak akan lulus. Kebanyakan guru itu, yang sudah hampir mencapai umur bersara, juga terkilan dan berasakan sumbangan mereka terhadap profesion keguruan tidak dihargai kerana peluang naik pangkat mungkin disekat PTK. Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sebelum ini sudah beberapa kali meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji semula PTK sebagai syarat kenaikan pangkat.

Bagi kita, PTK hanya satu mekanisme untuk kakitangan awam mendapat nilai tambah kepada kerjaya. Pergerakan gaji biasa masih berpandukan kepada laporan penilaian prestasi tahunan seseorang kakitangan awam tanpa perlu ujian PTK asalkan mereka melepasi markah 50 peratus. PTK hanya perlu bagi kakitangan yang ingin mengejar kenaikan pangkat atau mendapat anjakan gaji. Ia bermakna, mereka tidak perlu melalui PTK jika mahu pergerakan biasa gaji. Malah pihak JPA sudah mengubah suai kaedah sejak tahun lalu seperti pemberian nilai taraf sebagai pengganti atau pelengkap komponen PTK. Contohnya, pegawai perancang bandar boleh dikecualikan daripada PTK sekiranya mengikuti kursus kelulusan sijil korporat pertubuhan perancang Malaysia atau kursus dikendalikan Lembaga Kompetensi jabatan masing-masing bagi kakitangan awam lain. Bagi kumpulan sokongan misalnya, pemandu tidak lagi perlu menduduki PTK kerana ada komponen pemerhatian diguna pakai dalam PTK seperti kecekapannya memandu serta bagaimana dia menjaga kebersihan kereta. Malah, sejak tahun lalu, JPA membenarkan empat kali ujian PTK dalam setahun. Ia bermakna, mereka yang gagal ujian pertama, masih berpeluang berbuat demikian sehingga lulus.

Kita percaya niat JPA memperkenalkan PTK adalah baik kerana selama ini tidak ada tanda aras khusus diguna pakai untuk ‘memisahkan’ seseorang yang layak dan tidak layak dinaikkan pangkat atau anjakan gaji melainkan melalui ujian bagi mengukur kecekapan mereka. PTK bukan sekadar peperiksaan semata-mata. PTK adalah kaedah penilaian bagi penjawat awam menilai tugas yang dilakukan dan penjawat itu sendiri. Demi kecemerlangan perkhidmatan awam ia perlu dilihat dalam konteks lebih luas dan matlamat lebih besar. Jika ada yang perlu dikaji ialah bentuk soalan ujian PTK. Mungkin pihak JPA boleh membezakan soalan PTK antara pegawai diplomatik dan tadbiran dengan profesion perguruan

No comments: