11 May 2007

620 biasiswa guru lanjut pelajaran tahun depan

Berita Harian

Kementerian sasar lebih ramai tingkat kepakaran, naik pangkat

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan menawarkan lebih banyak biasiswa tahun depan untuk guru melanjutkan pengajian bagi meningkatkan kecekapan selain potensi dinaikkan pangkat, sekali gus mendorong mereka kekal dalam perkhidmatan.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kerajaan bercadang mewujudkan skim khas kenaikan gred dan pangkat untuk guru berkepakaran bagi menangani masalah guru meninggalkan kerjaya perguruan atau kementerian itu sendiri kerana mendapat tawaran lebih baik di luar.

“Sebagai pengiktirafan kerajaan bersempena sambutan Hari Guru 2007, Kementerian Pelajaran akan menawarkan 620 biasiswa untuk guru tahun depan bagi melanjutkan pelajaran sehingga peringkat ijazah lanjutan.

“Kursus yang ditawarkan merangkumi peringkat sarjana dan kedoktoran di bawah Hadiah Latihan Persekutuan (HLP). Biasiswa yang ditawarkan kali ini membabitkan peningkatan 42 peratus berbanding tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, 75 tempat ditawar untuk melanjutkan pengajian ke luar negara, terutama dalam bidang baru yang khusus dan tidak ditawarkan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA),” katanya pada majlis pelancaran Program Menjunjung Budi ‘Terima Kasih Cikgu’ di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak, di sini, semalam

Hishammuddin, yang juga Ketua Pemuda Umno berkata, sepanjang Mei 2007, Biro Pendidikan Pergerakan Pemuda Umno akan bekerjasama dengan Pergerakan Puteri Umno bagi menganjurkan program Menjunjung Budi ‘Terima Kasih Cikgu’ sebagai langkah memartabatkan profesyen perguruan.

Jelas beliau, pendekatan itu selaras agenda Kementerian Pelajaran yang menetapkan bulan ini sebagai fokus untuk Memartabatkan Profesion Perguruan Fokus, seperti digariskan dalam teras kelima Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010.

Pemuda dan Puteri Umno akan merangka pelbagai strategi menerapkan mesej menghargai jasa dan sumbangan guru di kalangan pelajar bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Guru tahun ini, yang dianggap lebih bermakna kerana diraikan serentak Sambutan 50 Tahun Kemerdekaan Negara.

Hishammuddin yakin pendekatan di bawah teras kelima PIPP itu dapat meningkatkan kualiti, kerjaya dan kebajikan (3K) guru sebagai komponen penting penggerak barisan hadapan bagi menzahirkan misi nasional memantapkan pembangunan modal insan.

Katanya, peluang itu terbuka kepada semua guru tetapi tertakluk kepada syarat ditetapkan dan kesesuaian bidang yang ditawarkan dengan opsyen serta pengkhususan ijazah pertama masing-masing.

Selain meningkatkan tahap profesionalisme guru, tawaran itu diharap dapat memenuhi keperluan tenaga pengajar di Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institut Aminuddin Baki (IAB), sekali gus menaik taraf IPG dan memenuhi keperluan kampus baru IAB di Nilai, Negeri Sembilan.

No comments: