11 May 2007

NUTP ada bukti 70,000 tiada peluang naik pangkat

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Profesion Perguruan (NUTP) akan menghantar bukti bagi menyokong dakwaan 70,000 guru bukan siswazah mungkin bersara tanpa peluang naik pangkat kerana enggan menduduki peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), kepada Kementerian Pelajaran.

Presiden NUTP, Anuar Ibrahim, berkata pihaknya sedang proses mengumpul fakta dan maklumat pengalaman guru bukan siswazah yang akan bersara dalam tempoh beberapa tahun lagi mengenai PTK sebelum diserahkan kepada Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, perangkaan secara tepat mengenai jumlah mereka yang mengambil dan lulus PTK tidak dapat diberikan berikutan keengganan Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran mengeluarkan statistik berkenaan.

“Bagaimanapun, berdasarkan tinjauan kita, setiap tahun hanya satu peratus guru yang mengambil PTK ini lulus. Ini bermakna peluang untuk guru lulus PTK sangat tipis sekali gus mengundang persoalan keberkesanannya dalam proses kenaikan pangkat guru.

“Kita bukan minta PTK ini dihapuskan sebaliknya memohon mekanisma diubah dan dipermudahkan supaya sesuai dengan tahap kemampuan guru yang sudah berusia tetapi mempunyai pengalaman luas mendidik,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Minggu lalu, Berita Harian melaporkan 70,000 guru bukan siswazah mungkin bersara tanpa peluang naik pangkat kerana enggan menduduki peperiksaan PTK.

Kebanyakan guru itu, yang sudah hampir mencapai umur bersara, juga terkilan dan berasakan seolah-olah sumbangan mereka terhadap profesion keguruan tidak dihargai kerana peluang naik pangkat mungkin disekat oleh PTK.

Antara syarat kenaikan pangkat bagi guru bukan siswazah daripada gred DGA29 kepada DGA32 yang ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ialah lulus peperiksaan PTK, berkhidmat 10 tahun ke atas serta tidak mempunyai sebarang laporan tatatertib.

Anuar berpendapat syarat lulus PTK ditetapkan JPA itu sebagai tidak menguntungkan guru siswazah yang sudah berusia sebaliknya lebih menyebelahi guru bukan siswazah lebih muda.

Mengenai kesan pembunuhan guru agama wanita yang baru ditugaskan di kawasan pedalaman, Kapit, Sarawak, Selasa lalu, beliau yakin kejadian itu tidak memberi implikasi kepada guru untuk memberi perkhidmatan di kawasan terpencil.

Beliau berkata, kes berkenaan adalah kes terpencil dan tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk guru enggan berkhidmat di pedalaman.

“Saya percaya ia tidak memberi kesan kerana tidak ramai guru yang enggan dipindahkan ke pedalaman dan semangat mereka untuk berkhidmat kepada anak bangsa sangat tinggi,” katanya.

Selasa lalu, polis menemui mayat ustazah berusia 26 tahun yang terapung di sebatang anak sungai.

No comments: