1.2 juta kakitangan awam menanti 22 Mei
Oleh ZULKIFLI ABDULLAH (WARTAWAN UTUSAN)
TARIKH 22 Mei, sememangnya bukanlah satu hari yang dianggap istimewa tetapi pada tahun ini, ia dinanti-nantikan oleh 1.2 juta anggota perkhidmatan awam kerana pada hari berkenaan, kerajaan dijangka mengumumkan keputusan mengenai tuntutan mereka berhubung soal semakan gaji.
Mereka sudah pasti menunggu tarikh itu dengan penuh debaran dengan harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengumumkan berita yang menggembirakan sempena sambutan Hari Pekerja sektor awam.
Biarpun kerajaan belum membuat keputusan mengenainya, sudah tersebar khabar-khabar angin bahawa kerajaan akan hanya menaikkan gaji kakitangan awam sebanyak 10 peratus dan bukannya semakan gaji yang kali terakhir dilakukan pada 1992.
Ekoran itu, semua kakitangan awam diminta tidak terlalu memikirkan mengenai perkara tersebut kerana dibimbangi akan menjejaskan prestasi kerja mereka.
Bagaimanapun, para pekerja awam mula menarik nafas lega apabila Perdana Menteri menyatakan tuntutan semakan gaji Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) kini berada dalam pertimbangan aktif Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Perdana Menteri berkata demikian pada Perhimpunan Hari Pekerja di Stadium Bukit Jalil, Sabtu lalu yang sekali gus menangkis khabar-khabar angin kononnya kerajaan tidak dapat menunaikan tuntutan yang dikemukakan oleh kongres itu.
Dalam tuntutan itu, CUEPACS meminta kenaikan antara 10 peratus (untuk Jawatan Utama Sektor Awam atau JUSA) hingga 40 peratus (bagi kakitangan kumpulan sokongan II, yang terendah dalam sektor awam).
Jika kerajaan bersetuju melakukan semakan gaji kakitangan awam, ini bermakna beberapa perkara pokok termasuk dari aspek skim tangga gaji, elaun, kenaikan pangkat dan kemudahan latihan kemahiran dirombak semula.
Inilah yang dihasratkan oleh setiap kakitangan awam terutama bagi kumpulan sokongan dengan harapan dapat memberi satu ‘imbuhan baru’ kepada mereka untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa bagi menghadapi cabaran dan kos hidup yang semakin meningkat.
Pada masa yang sama, kakitangan awam juga harus bersedia untuk menerima apa juga keputusan kerajaan yang mungkin tidak dapat memenuhi kesemua permintaan mereka.
Jika kerajaan dapat menunaikan kesemua tuntutan itu, ia adalah ‘hadiah’ kepada mereka yang begitu setia dan gigih untuk bersama-sama kerajaan membangunkan negara.
Ini kerana permintaan CUEPACS itu bolehlah diibaratkan seperti permintaan anak-anak dalam sebuah keluarga besar dengan kerajaan dianggap sebagai ketua keluarga.
Andainya ketua keluarga itu kurang kemampuan, sudah semestinya anak-anak mereka juga perlu memahami bebanan yang harus ditanggung untuk membesarkan mereka.
Kemampuan
Jika kerajaan kurang kemampuan kerana semakan gaji itu melibatkan kos yang besar, sewajarnya kakitangan awam memahami masalah itu dan menerima apa juga keputusan kerajaan nanti dengan hati terbuka.
Biarpun begitu, Presiden CUEPACS, Omar Osman begitu optimis terhadap komitmen kerajaan yang memberi perhatian terhadap tuntutan mereka.
‘‘Kenyataan PM yang JPA sedang membuat pertimbangan aktif terhadap tuntutan CUEPACS menunjukkan Perdana Menteri begitu prihatin terhadap kakitangan awam terutama mereka yang berada dalam kumpulan sokongan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini.
Bagi Omar, apa yang diharapkan oleh kerajaan ialah setiap kakitangan perlu memberi perhatian bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja untuk bersama-sama dengan kerajaan membangunkan negara.
Beliau mengakui itulah cabaran yang dipikul oleh CUEPACS dan kakitangan awam agar tidak melupakan tanggungjawab mereka supaya imej dan maruah mereka tidak tercemar jika kerajaan menunaikan tuntutan tersebut.
‘‘Jika tidak mereka (kakitangan awam) akan terus berada pada takuk lama dan ini sudah pasti akan mengecewakan kerajaan dan menyukarkan tuntutan-tuntutan lain dibuat pada masa depan jika ia tidak dibalas dengan komitmen kerja yang setimpal,’’ jelasnya.
Omar seterusnya menegaskan, tindakan perusahaan atau mogok bukanlah jalan penyelesaian sebaliknya, meja rundingan antara pihak kesatuan sahaja dapat menyelesaikan apa juga masalah dan harapan diluahkan oleh kakitangan awam kepada kerajaan.
No comments:
Post a Comment