08 May 2007

Cuepacs tekad tingkat imej perkhidmatan

Berita Harian

PUTRAJAYA: Cuepacs berterima kasih atas persetujuan kerajaan menaikkan gaji kira-kira 1.2 juta kakitangan awam seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam, bertekad meningkatkan imej perkhidmatan awam.

Presidennya, Omar Osman, berkata semua kakitangan awam sudah diarah bukan saja ‘membalas budi’ kerajaan dengan mempertingkatkan kualiti kerja, produktiviti dan integriti, tetapi penampilan diri serta penguasaan ilmu bagi memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Katanya, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan ada menyatakan kepadanya ketika Perhimpunan Hari Pekerja di Kuala Lumpur, Sabtu lalu, bahawa kerajaan tidak mahu ada kakitangan awam yang masih selekeh selepas permintaan Cuepacs dipenuhi.

“Kita mohon semua pekerja bersedia mulai sekarang bagi memantapkan diri, kualiti kerja dan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang masih bermasalah.

“Imej dan moral perkhidmatan awam mesti seiring hasrat kerajaan. Semua kena lengkapkan diri secara serius, kehadiran bertugas mesti tepat, cara berpakaian mesti segak dan integriti mesti tinggi. Kita mesti berikan yang terbaik kerana kerajaan sudah menerima tuntutan kita,” katanya kepada Berita Harian ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri pada majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, bahawa kakitangan awam ‘berhak mendapatkan kenaikan gaji’ dan semakan gaji itu wajar selepas sekian lama.

Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata, peratusan kenaikan gaji itu berbeza antara pegawai tinggi dan kakitangan rendah bagi memastikan jurang pendapatan tidak begitu ketara.

Pada 11 Januari lalu, Cuepacs mengemukakan memorandum kepada Abdullah memohon tuntutan kenaikan gaji secara menyeluruh untuk kakitangan awam dengan alasan ia perlu disesuaikan dengan kos sara hidup semasa.

Cuepacs memohon kenaikan gaji 30 peratus bagi kakitangan awam Gred 17 hingga 40, 20 peratus (Gred 41 hingga 54) serta lima hingga 10 peratus (Jawatan Utama Sektor Awam). Kali terakhir semakan gaji kakitangan awam ialah pada 1992.

Omar berkata, pengumuman Perdana Menteri itu bukan saja melenyapkan khabar angin kerajaan hanya akan memberi kenaikan gaji 10 peratus.

“Kita gembira dan lega... kerana itulah matlamat kita,” katanya yang yakin Perdana Menteri akan mengumumkan butiran kenaikan gaji itu pada majlis perhimpunan kakitangan awam di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC) 21 Mei ini.

“Itulah tarikh keramat bagi kita... kini 3,000 wakil kakitangan awam dari seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Anuar Ibrahim, berkata kenyataan Perdana Menteri itu membuktikan beliau bersimpati nasib kakitangan awam terutama kumpulan sokongan.

“Jika sebelum ini kakitangan awam mendakwa tidak boleh memberi komitmen terhadap kerja masing-masing kerana perlu mencari duit lebih, saya berharap mereka tidak lagi menggunakan alasan sama,” katanya ketika ditemui selepas pertemuan dengan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, di sini, semalam.

No comments: