09 May 2007

PTK sekat kenaikan guru berjasa

SAYA ingin merujuk kenyataan Presiden Kesatuan Kebangsaan Profesion Perguruan (NUTP), Anuar Ibrahim mengenai 70,000 guru tidak mengambil Penilaian Tahap kecekapan (PTK) dalam akhbar ini, kelmarin.

Saya adalah antara mangsa daripada sistem berkenaan. Bezanya, saya guru DG41 lepasan maktab perguruan, manakala kelompok berkenaan adalah guru bukan siswazah. Namun dari aspek perjalanan dan nasib kami tidak jauh beza. Saya amat sedih apabila PTK menjadi penghalang kerjaya saya mungkin untuk seumur hidup.

Pada 2003, saya mengisi borang permohonan Guru Cemerlang. Namun, disebabkan kerenah birokrasi, permohonan saya terlewat dan pemantauan tidak sempat dijalankan pada tahun berkenaan.

Menurut nazir negeri, permohonan itu sepatutnya dirujuk semula pada 2004. Malangnya 2004 adalah tahun peralihan pelaksanaan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang sekali gus permohonan saya ditangguhkan buat sementara waktu.

Pada 2005 jerat PTK mula memerangkap apabila kelulusan PTK menjadi syarat wajib memohon jawatan. Selepas gagal PTK buat pertama kali, saya tertekan dan hilang kepercayaan untuk melalui PTK dalam usia yang hampir mencecah 50 tahun. Kedudukan jumud dan antiklimaks itu menyaksikan saya tidak berdaya melepasi PTK. Kesannya, saya terpaksa melupakan hasrat memohon jawatan Guru Cemerlang seperti dihajatkan.

Kini hanya PTK memisahkan saya dengan rakan lain yang terlebih dulu menikmati jawatan itu sebelum pelaksanaan PTK. Saya melaksanakan segala komitmen mengikut kemampuan dan kapasiti diri.

Dalam tempoh 17 tahun sebagai guru berijazah, saya memberikan sumbangan tidak kurang penting. Saya menghasilkan 12 modul dan buku sampel jawapan untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sebahagiannya turut diterbitkan oleh penerbit terkemuka.

Dalam mempertingkatkan profesionalisme kerjaya, saya juga menyumbang kepakaran dengan membimbing pelajar SPM menerusi ceramah dan bengkel. Hingga kini, sudah hampir 200 ceramah dan bengkel saya adakan. Dalam bidang kokurikulum pula, atas kudrat dan bakat yang ada, saya membimbing pelajar sehingga beberapa kali sampai ke peringkat kebangsaan.

Namun, nasib tidak menyebelahi saya. Setiap tahun saya melihat ‘budak-budak’ yang jauh lebih muda dalam langkah bergaya menghadiri PTK untuk melayakkan mereka mempertingkatkan gaji dan seterusnya meningkat ke gred lebih tinggi.

Usia menghalang kami lulus akibat hambatan tugas dan tanggungjawab terhadap keluarga yang semakin terbeban. Kini, saya terpaksa menelan hakikat pahit dan terpaksa berpencen pada gred gaji DG41 atau yang lebih baik sedikit DG44.

Demikianlah episod panjang penuh malang selepas 11 tahun saya berkhidmat di sekolah rendah dan hampir 18 tahun di sekolah menengah. Benar seperti kata Anuar, pengalaman bukan ukuran utama.

GURU LAMA,
Alor Star, Kedah.

No comments: