10 May 2007

Henti kerja sambilan

Oleh Hayati Ibrahim (Harian Metro)

PUTRAJAYA: “Saya minta mereka hentikan kerja sambilan. Tolonglah beri tumpuan penuh pada tugas masing-masing,” kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman, di sini, semalam.

Katanya, beliau mengetahui ramai kakitangan kerajaan melakukan kerja sambilan semata-mata mahu menampung kos hidup yang tinggi, terutama bagi mereka yang mempunyai keluarga besar dan tinggal di bandar.

“Saya tahu ramai yang buat kerja sambilan seperti pemandu teksi, peniaga pasar malam, pekerja stesen minyak dan pengawal keselamatan.

“Tetapi, apabila gaji dinaikkan, mereka mesti memberi perhatian sepenuhnya kepada tugas mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, Cuepacs menyedari peningkatan taraf hidup di bandar adalah sebab utama yang mendorong kakitangan kerajaan melakukan kerja sambilan.

“”Selepas kerajaan mengesahkan gaji kira-kira 1.2 juta kakitangan awam dinaikkan, mereka dinasihatkan supaya berhenti daripada melakukan kerja sambilan sebagai membalas jasa kerajaan dan berusaha meningkatkan kecekapan mereka,” katanya.

Beliau berkata, Cuepacs tidak akan bertanggungjawab jika terdapat kakitangan yang dikenakan tindakan disiplin berikutan prestasi kerja yang tidak memuaskan apabila mereka masih menjalankan kerja sambilan.

“Kami serahkan sepenuhnya kepada jabatan untuk menjatuhkan hukuman dan kami berjanji tidak akan campur tangan kecuali mereka menerima hukuman tidak adil,” katanya.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menetapkan peraturan di mana kerja sambilan hanya boleh dilakukan di luar waktu pejabat, selepas mendapat persetujuan daripada ketua bahagian dan tidak menjejaskan prestasi mereka.

Omar berkata bahawa beliau tidak menafikan kakitangan kerajaan yang melakukan kerja sambilan gagal menjalankan tugas dengan baik dan teratur.

“Terdapat kes di mana kakitangan ponteng kerja dan sering masuk lewat ke pejabat, selain berpakaian selekeh.

“Kepada mereka yang masih menjual kain di pejabat, barang kemas dan pelbagai lagi, tolonglah berhenti, semuanya akan memperlihatkan perkembangan tidak sihat terhadap imej dan produktiviti kita,” katanya.

Pada 11 Januari lalu, Cuepacs mengemukakan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memohon tuntutan kenaikan gaji secara menyeluruh untuk kakitangan awam dengan alasan perlu disesuaikan dengan kos hidup semasa.

Dalam memorandum itu, Cuepacs memohon kenaikan gaji 30 peratus bagi kakitangan awam Gred 17 hingga 40, 20 peratus (Gred 41 hingga 54) serta lima hingga 10 peratus (Jawatan Utama Sektor Awam). Kali terakhir semakan gaji kakitangan awam ialah pada 1991.

Sementara 6 Mei lalu, Abdullah mengesahkan gaji kira-kira 1.2 juta kakitangan awam akan dinaikkan, tetapi peratusannya berbeza antara pegawai kanan dengan kakitangan rendah bagi memastikan jurang perbezaannya tidak begitu ketara.

No comments: