08 May 2007

Hishammuddin mahu bukti


NUTP perlu beri fakta guru bukan siswazah enggan duduki PTK

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) perlu mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan mereka 70,000 guru bukan siswazah mungkin bersara tanpa peluang naik pangkat kerana enggan menduduki peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata beliau tidak tahu kenapa guru enggan menduduki peperiksaan PTK, berbanding kakitangan awam sektor lain.

“Kita mahu tahu kenapa guru perlu diberi pengecualian, padahal PTK adalah untuk semua kakitangan awam.

“Jika mahukan pengecualian, perlu ditunjukkan apa perbezaan mereka (guru) daripada kakitangan awam lain. Bagaimanapun, bukan keputusan saya untuk katakan guru boleh diberi pengecualian daripada menduduki PTK,” katanya mengulas laporan akhbar ini semalam memetik Presiden NUTP, Anuar Ibrahim, yang membuat dakwaan itu.

Hishammuddin berkata, NUTP perlu mengemukakan fakta lanjut mengenai perkara itu, khususnya berhubung perbezaan pendapat mengenai PTK yang dikatakan memberi tekanan kepada kerjaya perguruan.

“Laporan kesatuan itu juga perlu menyatakan dengan jelas maksud halangan yang dihadapi guru hingga ada yang enggan menduduki PTK dan lebih rela bersara tanpa naik pangkat.

“Hanya menerusi laporan itu nanti, kita boleh tentukan bentuk tindakan lanjut perlu diambil sama ada di peringkat kementerian atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Jika ada kelemahan pada guru, kita akan cari jalan untuk membantu mereka supaya dapat menduduki PTK, tetapi jika isunya lain dan tidak boleh ditangani kementerian, ia akan dipanjangkan kepada JPA,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Star-NIE-Pizza Hut’s Campaign 4 Rewards 2007 di Pizza Hut Kota Damansara dekat sini, semalam.

Hishammuddin berkata, beliau bimbang persepsi orang ramai terhadap guru berikutan pelbagai rungutan mengenai PTK menunjukkan seolah-olah mereka tidak mampu menduduki PTK dan tidak setanding dengan rakan mereka di perkhidmatan awan lain.

“Jika guru kata PTK satu beban, saya bimbang pengiktirafan orang ramai terhadap kerjaya guru kerana akan diperlekehkan kerana kita seperti mengakui tidak setaraf kakitangan awam lain,” katanya sambil menambah isu sama turut dibincangkan dalam pertemuannya dengan 24 kesatuan perguruan seluruh negara, semalam.

No comments: