Formula gaji patut utama keadilan sosial
Berita Harian
PERJUANGAN Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menuntut kerajaan menyemak semula gaji kakitangan awam yang kali terakhir dilakukan pada 1992 adalah satu langkah bijak dan disokong.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kelmarin menyatakan kerajaan akan menaikkan gaji kira-kira 1.2 juta kakitangan awam kerana mereka ‘berhak mendapatnya’ dan semakan gaji itu adalah wajar selepas sekian lama.
Bagaimanapun, peratusan kenaikan gaji yang akan diberikan itu berbeza antara pegawai tinggi dengan kakitangan rendah bagi memastikan jurang pendapatan mereka tidak begitu ketara.
Dengan mengemukakan formula kenaikan lima hingga 40 peratus membabitkan kakitangan sokongan rendah sehingga Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa), Cuepacs dilihat memberi keutamaan kepada golongan berpendapatan rendah untuk menikmati gaji lebih tinggi.
Usaha murni ini akan mengurangkan atau meminimumkan jurang pendapatan antara kakitangan awam peringkat rendah dengan tinggi.
Namun, dalam usaha meningkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah, kita tidak seharusnya menafikan hak dan keadilan sosial. Kita tidak wajar mempersoalkan kenapa gaji seorang pegawai lebih tinggi daripada buruh binaan.
Gaji guru siswazah lebih tinggi daripada guru bukan siswazah sedangkan mereka bertugas di sekolah sama dan melakukan tugas sama. Perbezaan gaji ini ditentukan oleh tahap pendidikan dan pangkat seseorang.
Adalah tidak adil jika golongan yang bertungkus-lumus, berkorban masa dan wang ringgit untuk belajar hingga ke peringkat tertinggi memperoleh gaji sama atau hampir sama dengan golongan yang tahap pendidikannya lebih rendah.
Keadaan ini mungkin dapat menjejaskan ketidakadilan sosial sekiranya formula semakan gaji Cuepacs dilaksanakan dan saya memberi contoh berikut:
l Guru ‘A’ adalah lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memasuki maktab perguruan selama tiga tahun dan dibayar elaun ketika berkursus. Selepas tamat kursus, beliau menjadi guru bukan siswazah dengan gaji permulaan RM1,124.57. Dengan formula gaji baru, beliau akan menerima RM1,461.90 (kenaikan 30 peratus).
l Guru ‘B’ adalah lulusan SPM dan menyambung pengajian peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) selama dua tahun seterusnya memasuki universiti selama empat tahun. Mengambil kira masa yang diambil untuk menunggu keputusan STPM, menunggu tawaran universiti, konvokesyen, menunggu temu duga dan lantikan oleh kementerian, dia mengambil masa tujuh hingga lapan tahun selepas lulus SPM sehingga menjadi guru dengan gaji permulaan RM1,474.65. Dengan formula gaji baru, beliau akan menerima RM1,769.58. (kenaikan 20 peratus).
Ketika guru ‘B’ menerima gaji permulaannya RM1,769.58, guru ‘A’ sudah pun masuk tahun kelima perkhidmatan dengan gaji RM1732.50. Perbezaan gaji mereka hanya RM37.08. Ternyata guru ‘B’ mengalami kerugian masa, wang ringgit, terpaksa bertungkus-lumus ketika belajar dan ketinggalan senioriti perkhidmatan hanya untuk perbezaan gaji yang sekecil itu.
Cadangan lebih rasional untuk formula semakan gaji ialah seperti berikut:
l Kenaikan dengan peratusan sama rata (cadangan 30 peratus) bagi semua gred lantikan kerana gred ini berdasarkan kelayakan pendidikan.
l Kenaikan dengan peratusan lebih rendah (cadangan 20 peratus) bagi gred kenaikan pangkat.
l Kenaikan dengan peratusan yang rendah (cadangan lima peratus) bagi Jusa.
Saya melihat cadangan ini lebih adil dan selaras dengan hasrat murni Cuepacs untuk meningkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah tanpa menafikan hak sosial masyarakat.
M D KHASIMEE,
Kulim, Kedah.
No comments:
Post a Comment