11 May 2007

Status pembantu makmal perlu segera disahkan

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Cuepacs mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) segera menyelesaikan tuntutan Persatuan Pembantu Makmal Universiti/Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang meminta status kira-kira 3,500 pembantu makmal dinaikkan taraf kepada Penolong Pegawai Sains.

Tuntutan yang sepatutnya sudah lama diselesaikan apabila Kementerian Pengajian Tinggi dan JPA sebelum ini bersetuju untuk menaikkan taraf jawatan berkenaan yang ketika ini statusnya sama dengan jawatan Pembantu Makmal Sekolah Gred C17.

Bagaimanapun persatuan itu mendakwa kementerian dan JPA masih gagal memenuhi tuntutan itu yang diberi tempoh sehingga 31 Mac lalu.

Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata persatuan sudah mengadakan pertemuan dengan kementerian dan JPA pada 29 Disember tahun lalu, membincangkan tuntutan itu dan pihak berkenaan pada dasarnya bersetuju membuat perubahan menaik taraf jawatan berkenaan kepada Penolong Pegawai Sains, sesuai dengan tugas di IPTA.

Katanya, persatuan amat kecewa apabila sehingga tamat tempoh 31 Mac lalu iaitu tempoh masa yang diberikan untuk menaik taraf jawatan itu sehingga kini tidak menjadi kenyataan.

Berikutan itu, katanya, sempena Seminar Pembantu Makmal Universiti/IPTA yang diadakan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dari 24 hingga 26 Mac lalu, memutuskan resolusi meminta kerajaan mengambil tindakan segera bagi memenuhi tuntutan itu.

“Sebenarnya isu ini sudah berlarutan sejak lima tahun lalu, tetapi hingga kini tidak menjadi kenyataan walaupun ada persetujuan untuk menaikkan taraf jawatan itu kepada Penolong Pegawai Sains dengan Gred C27,” katanya.

No comments: