Showing posts with label Hari Pekerja. Show all posts
Showing posts with label Hari Pekerja. Show all posts

01 May 2009

Peraturan kerja separa masa dilaksana bulan depan

Berita Harian

MELAKA: Kementerian Sumber Manusia menjangkakan Peraturan Kerja Separa Masa untuk pekerja sektor awam dan swasta bekerja selepas waktu kerja dapat dilaksanakan pada bulan depan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata kementeriannya kini di peringkat akhir menggubal peraturan itu di bawah Akta Kerja 1955.

"Sebelum ini, kerajaan telah membenarkan pekerja sektor awam untuk bekerja separa masa tetapi tidak ada peraturan khusus mengenainya hingga menimbulkan beberapa isu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Pekerja Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Cuepacs, Omar Osman dan Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan dan Pengguna Negeri, R Perumal.

Dr Subramaniam berkata isu berkenaan antaranya berkaitan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), bayaran kerja lebih masa dan cuti sakit.

Peraturan itu digubal antaranya bagi menetapkan peraturan berkaitan penggajian pekerja separa masa, menentukan faedah minimum kepada pekerja separa masa, mengurangkan pergantungan majikan kepada pekerja asing dan menggalakkan penyertaan tenaga kerja terbiar, katanya.

Beliau berkata kebenaran untuk kerja separa masa itu bagi membantu pekerja yang berpendapatan rendah untuk menambah pendapatan.

Sementara itu, Omar berkata Cuepacs memohon kepada kerajaan supaya membuat penambahbaikkan terhadap skim perjawatan bagi memberi peluang yang lebih baik dalam kenaikan pangkat.

Katanya jawatan berkenaan termasuk operator pemprosesan data, pembantu tadbir rendah dan operator mesin.

"Cuepacs juga meminta kerajaan memberi insentif khas kepada kakitangan yang berkhidmat tengah malam iaitu 12 tengah malam hingga 6 pagi supaya mereka ini lebih selesa bekerja dan tahap kesihatan mereka terjamin," katanya.

Omar turut berharap dapat bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum 14 Mei ini bagi mengemukakan beberapa perkara berkaitan kebajikan kakitangan sektor awam.

Beliau berkata surat untuk pertemuan itu telah dihantar tiga minggu lepas dan masih belum mendapat jawapan. - Bernama

10 May 2008

Umur persaraan kakitangan awam dilanjutkan ke 58 tahun

Berita Harian

PUTRAJAYA: Had umur persaraan wajib kakitangan awam dilanjutkan kepada 58 tahun daripada 56 mulai 1 Julai 2008 sebagai sebahagian daripada beberapa insentif yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad hari ini.

Yang lain termasuk menghitung pencen mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun, menghapuskan syarat penyusutan pencen terbitan dan menambah baik Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) daripada segi kaedah pelaksanaannya. Beliau berkata keputusan melanjutkan umur persaraan wajib itu dibuat setelah kerajaan mengambil kira kadar jangka hayat dalam kalangan rakyat negara ini dan berdasarkan kajian bahawa pelaksanaannya tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan graduan baru.

“Ini adalah penting agar penjawat awam generasi baru tidak merasakan peluang mereka untuk maju dalam kerjaya mereka semakin tipis, malahan sebaliknya ia akan bertambah,” katanya pada sambutan Hari Pekerja Sektor Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Abdullah berkata kerajaan bersetuju untuk menghapuskan syarat penyusutan pencen terbitan mulai 1 Januari 2009.

Ini bermakna pencen terbitan akan dibayar 100 peratus kepada ahli keluarga gemulah.

Abdullah berkata perkiraan pencen mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun bagi semua pesara dan penerima pencen akan berkuat kuasa 1 Januari 2009.

Sebelum ini pencen pegawai perkhidmatan awam dihitung dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 25 tahun.

Mengenai PTK, Perdana Menteri berkata bahawa sebenarnya sejak tahun 2003, kerajaan telah menambah baik kaedah pelaksanaannya termasuk menambah kekerapan pelaksanaannya agar urusan pengembangan kerjaya pegawai dapat dipercepatkan.

Beliau berkata tahun ini, kerajaan telah bersetuju membuat beberapa penambahbaikan lagi seperti; + bagi pegawai Gred 1 hingga Gred 16, kaedah ujian bertulis tidak akan digunakan untuk PTK. Lembaga penilaian kompetensi kementerian, negeri dan agensi akan menentukan kaedah lain sebagai ganti; dan, + bagi pegawai-pegawai gred-gred lain, kaedah yang sedang dilaksanakan juga akan dikaji semula dan dilaksanakan secara berperingkat.

Mengenai pencen terbitan, Abdullah berkata, kini satu daripada syarat pencen terbitan yang dibayar kepada ahli keluarga gemulah ialah kadarnya akan disusut kepada 70 peratus selepas 12 1/2 tahun dari tarikh persaraan atau kematian dalam perkhidmatan anggota sektor awam.

“Berdasarkan kajian terperinci, bagi keluarga yang mempunyai anak kecil semasa kematian gemulah, syarat ini agak membebankan dari segi kewangan. Untuk mengurangkan beban ini, kerajaan telah bersetuju untuk menghapuskan syarat penyusutan pencen terbitan ini mulai 1 Januari 2009.

“Ini bermakna pencen terbitan ini akan dibayar 100 peratus kepada ahli keluarga,” katanya.

Abdullah, yang juga Menteri Kewangan, berkata formula menghitung pencen mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun, juga meliputi persaraan dan kematian dalam perkhidmatan sebelum tarikh berkuatkuasa.

Bagaimanapun, katanya, kadar pencen yang dihitung semula akan hanya diberi mulai 1 Jan 2009 tanpa bayaran tunggakan.

“Kedua-dua dasar baru mengenai pencen ini akan menelan belanja tambahan sebanyak RM718 juta setahun dan akan memberi manfaat kepada kira-kira 310,000 pesara dan penerima pencen,” katanya.

Abdullah berkata kerajaan juga telah bersetuju bahawa ibu atau bapa pegawai yang meninggal dunia tanpa meninggalkan waris akan dibayar pemberian sekali atau ex-gratia dan bukan pencen terbitan.

Bagi tuntutan-tuntutan lain yang dikemukakan oleh Cuepacs, termasuk semakan semula kadar imbuhan tetap perumahan atau penyerapan masuk kakitangan kontrak sebagai kakitangan awam, ianya masih dalam penelitian kerajaan dan keputusannya akan diumumkan tidak lewat dari pembentangan Belanjawan Negara 2009, katanya.

Dalam ucapannya juga, Abdullah meminta anggota sektor awam untuk meningkatkan sumbangan masing-masing dalam setiap tugasan yang diberikan.

“Kita tidak boleh melengah-lengahkan sesuatu arahan, sebaliknya perlu mempunyai daya kesungguhan untuk melaksanakan keputusan yang dicapai.

“Apa juga keputusan atau rancangan tidak akan membawa sebarang makna sekiranya ianya tidak dilaksanakan dengan baik. Pada saya, pemantauan pelaksanaan adalah sangat penting,” katanya.

Beliau berkata penjawat awam juga perlulah memiliki keluhuran peribadi dan integriti yang tinggi kerana “tidak ada gunanya menguasai segala ilmu pengetahuan di dunia sekiranya kita tidak memiliki sikap yang baik.” “Perkhidmatan awam berperanan penting dalam mewujudkan persekitaraan yang kondusif bagi membolehkan negara terus berdaya saing dan berdaya maju.

“Sektor awamlah yang bakal menentukan jatuh bangunnya negara dalam ke arah Wawasan 2020,” katanya. - Bernama

01 May 2008

Kesedaran alam sekitar kakitangan awam

Utusan Online

TERDAPAT lebih kurang 1.2 juta rakyat Malaysia yang bekerja dalam jabatan dan agensi kerajaan. Ia mewakili 4.4 pe- ratus keseluruhan penduduk negara. Perluasan skop kerja di dalam sektor awam dijangka akan meningkatkan permintaan jumlah guna tenaga di dalam sektor ini.

Senario kesedaran alam sekitar di pejabat masih belum banyak menunjukkan perubahan. Kertas-kertas putih (ber- saiz A4) yang digunakan untuk menaip surat, memo, kertas kerja dan minit me- syuarat masih digunakan secara membazir. Kertas yang tidak terpakai adakalanya dibuang terus. Ada yang menggunakan sebelah muka surat sahaja dan sebelah lagi dibiarkan kosong.

Sikap suka membazir ini dapat dilihat juga dalam penggunaan elektrik, di mana penggunaan alat penghawa dingin, lampu pejabat dan komputer tidak dikawal penggunaannya.

Penggunaan air di dalam tandas juga dibazirkan. Kadangkala kelihatan air di- biarkan mengalir dari pili tanpa ditutup dengan sempurna. Hal ini tidak sepatutnya dipandang remeh kerana ia berkaitan dengan pembaziran wang negara secara besar-besaran.

Dalam majlis jamuan makan kadangkala digunakan bekas makanan plastik sebagai pembungkus makanan. Tanpa di- sedari amalan ini akan menyumbang kepada masalah pencemaran alam sekitar, ini kerana plastik adalah bahan yang su- kar untuk dihuraikan secara biologikal.

PenjawatKesemua senario ini merupakan realiti yang berlaku dalam kelompok penjawat awam. Nyata sekali bahawa kesedaran kepenggunaan di kalangan penjawat awam terhadap alam sekitar masih lagi rendah.

Program kesedaran alam sekitar nampak seolah-olah belum merata sepenuhnya di kalangan masyarakat kita. Kempen cintai alam sekitar seharusnya tidak tertumpu kepada golongan pelajar dan belia semata-mata. Malahan kelompok penjawat awam perlu juga diberi kesedaran ini.

Hakikatnya isu alam sekitar mempunyai hubungan langsung dengan gaya ke- penggunaan masa kini. Penjawat awam masih banyak yang berada dalam zon se- lesa, jauh sekali untuk memahami isu-isu alam sekitar dan melaksanakan amalan kepenggunaan lestari.

Oleh itu program kesedaran alam sekitar kepada kakitangan awam amat perlu disemarakkan. Ia bukan sahaja dapat menyedarkan penjawat awam terhadap alam sekitar tapi dapat membantu menjimatkan wang negara.

Program kesedaran alam sekitar perlu dijadikan antara agenda utama dalam perhimpunan bulanan. Selain daripada itu aktiviti seperti sambutan bulan penghayatan alam sekitar, hari alam sekitar, pertandingan keceriaan dalam pejabat, kempen guna semula kertas terpakai, kempen penjimatan elektrik dan air, kempen penggunaan plastik sifar, ceramah alam sekitar dan gotong-royong membersih pejabat adalah antara program yang boleh dianjurkan.

Program ke arah kesedaran dan komitmen alam sekitar ini tidak seharusnya dipandang remeh, enteng dan janggal di kalangan penjawat awam. Masih belum terlambat untuk kita melaksanakan program ini.

Bersempena dengan sambutan Hari Pekerja 2008, warga penjawat awam perlu menjadikan agenda kesedaran alam se- kitar sebagai suatu yang perlu dijayakan.

14 April 2008

NUTP sertai Cuepacs boikot Hari Pekerja

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) akan turut menyertai Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memulaukan sambutan Hari Pekerja.

Presidennya, Anuar Ibrahim, berkata ini kerana kesatuan itu adalah salah satu anggota gabungan dalam Cuepacs.

“Kita kenalah ikut keputusan kongres, kalau dalam mesyuarat bolehlah kita bantah, tapi kalau kongres sudah buat keputusan untuk boikot kita kena akur,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel ’Kecemerlangan Sistem Penyampaian’ di Institut Kefahaman Islam Malaysia di sini, hari ini.

Cuepacs, pada 2 April lalu mengumumkan akan memboikot sambutan Hari Pekerja anjuran Kementerian Sumber Manusia pada 3 Mei ini dan satu lagi sambutan anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 29 Mei jika kerajaan gagal memberi kata putus berhubung lima tuntutan kesatuan itu.

Lima tuntutan itu ialah pembayaran sagu hati RM2,000 kepada semua kakitangan kerajaan; menaikkan elaun perumahan dari RM180 sebulan kepada RM230; meminta JPA menghapuskan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) untuk kakitangan Kumpulan Sokongan I dan II (Gred 1 hingga 40), memberikan semula Elaun Kritikal bagi Kumpulan Sokongan Dua yang ditarik balik pada Februari lalu dan melanjutkan umur persaraan wajib dari 56 tahun kepada 60 tahun.

Dalam ucapannya, Anuar meminta para guru supaya sentiasa menambah ilmu pengetahuan dari semasa ke semasa supaya tidak ketinggalan terutama dalam bidang teknologi komunikasi maklumat (ICT).

“Cikgu adalah contoh kepada pelajar jadi cikgu jangan terlalu jumud dan jangan ingat apa yang dipelajari di universiti dulu boleh digunapakai pada zaman sekarang.

“Anak murid kita kini lebih terdedah dengan ICT, jadi cikgu perlu tambah ilmu ke arah itu,” katanya.

Seramai 200 peserta dari pelbagai jabatan kerajaan, swasta dan kalangan guru menghadiri bengkel sehari itu.

Bengkel itu antara lain mendedahkan peserta kepada kaedah cetusan kecemerlangan organisasi dan pengurusan berdasarkan al-Quran dan Hadis, membentuk jati diri bagi kecemerlangan sistem penyampaian dan memahami tanggungjawab dalam sistem penyampaian.

— Bernama

07 April 2008

CUEPACS sedia kompromi sambutan Hari Pekerja

Utusan Online

KUALA LUMPUR 6 April - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak akan memboikot dua sambutan Hari Pekerja Mei depan sekiranya pertemuan mereka dengan kerajaan pada 14 April ini mencapai matlamat.

Presidennya, Omar Osman berkata, pertemuan sembilan pegawai tertinggi CUEPACS dengan Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya pada hari berkenaan bertujuan membincangkan lima tuntutan yang diperjuangkan kesatuan itu sejak September tahun lalu.

Bagaimanapun menurutnya, jika perbincangan itu tidak mendatangkan apa- apa hasil, maka CUEPACS tetap dengan pendiriannya untuk memboikot sambutan yang diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 3 dan 29 Mei depan.

''Rasanya tidak adil jika kakitangan kerajaan yang kini sedang berjimat cermat menyambut Hari Pekerja secara besar-besaran.

''CUEPACS merasakan ia satu tindakan membazir kerana lebih baik kita menyambut sekali sahaja sebagai simbolik menghargai Hari Pekerja,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan CUEPACS supaya tidak menggunakan pendekatan mengugut kerajaan dalam menyelesaikan isu berbangkit.

Ingatan itu diberikan selepas kesatuan tersebut mengancam akan memboikot dua sambutan Hari Pekerja pada bulan depan jika lima tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Mengulas tindakan berani CUEPACS itu, Omar memberitahu, pihaknya tidak mempunyai niat untuk bertindak kasar tetapi memikirkan penyelesaiannya yang agak lambat dan masih agak samar, menyebabkan CUEPACS bertindak sedemikian.

''Kita berasa lega apabila Perdana Menteri menyatakan kesediaan untuk mengadakan pertemuan bila-bila sahaja sebagai tanda prihatin tentang keresahan ekonomi di kalangan kakitangan awam,'' katanya.

Menurutnya, lima tuntutan CUEPACS ialah bayaran honorarium tahun 2007 sebanyak RM2,000 kepada 1.2 juta kakitangan, kadar pencen mengikut perkhidmatan sebenar, pelanjutan umur persaraan daripada 55 tahun kepada 60 tahun dan pemansuhan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), elaun kritikal dan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP).

''Nilai kesemua tuntutan itu melibatkan perbelanjaan tidak sampai RM2 bilion dan CUEPACS akan memanfaatkan pertemuan tersebut untuk berunding termasuk mengambil kira kedudukan kewangan kerajaan,'' jelasnya.

Omar berkata, hasil pertemuan dengan kerajaan pada 14 April itu akan disusuli dengan satu mesyuarat di pejabatnya empat hari kemudian bagi memutuskan sama ada CUEPACS menyertai kedua-dua sambutan Hari Pekerja atau tidak.

07 May 2007

1.2 juta kakitangan awam menanti 22 Mei

Oleh ZULKIFLI ABDULLAH (WARTAWAN UTUSAN)

TARIKH 22 Mei, sememangnya bukanlah satu hari yang dianggap istimewa tetapi pada tahun ini, ia dinanti-nantikan oleh 1.2 juta anggota perkhidmatan awam kerana pada hari berkenaan, kerajaan dijangka mengumumkan keputusan mengenai tuntutan mereka berhubung soal semakan gaji.

Mereka sudah pasti menunggu tarikh itu dengan penuh debaran dengan harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengumumkan berita yang menggembirakan sempena sambutan Hari Pekerja sektor awam.

Biarpun kerajaan belum membuat keputusan mengenainya, sudah tersebar khabar-khabar angin bahawa kerajaan akan hanya menaikkan gaji kakitangan awam sebanyak 10 peratus dan bukannya semakan gaji yang kali terakhir dilakukan pada 1992.

Ekoran itu, semua kakitangan awam diminta tidak terlalu memikirkan mengenai perkara tersebut kerana dibimbangi akan menjejaskan prestasi kerja mereka.

Bagaimanapun, para pekerja awam mula menarik nafas lega apabila Perdana Menteri menyatakan tuntutan semakan gaji Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) kini berada dalam pertimbangan aktif Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Perdana Menteri berkata demikian pada Perhimpunan Hari Pekerja di Stadium Bukit Jalil, Sabtu lalu yang sekali gus menangkis khabar-khabar angin kononnya kerajaan tidak dapat menunaikan tuntutan yang dikemukakan oleh kongres itu.

Dalam tuntutan itu, CUEPACS meminta kenaikan antara 10 peratus (untuk Jawatan Utama Sektor Awam atau JUSA) hingga 40 peratus (bagi kakitangan kumpulan sokongan II, yang terendah dalam sektor awam).

Jika kerajaan bersetuju melakukan semakan gaji kakitangan awam, ini bermakna beberapa perkara pokok termasuk dari aspek skim tangga gaji, elaun, kenaikan pangkat dan kemudahan latihan kemahiran dirombak semula.

Inilah yang dihasratkan oleh setiap kakitangan awam terutama bagi kumpulan sokongan dengan harapan dapat memberi satu ‘imbuhan baru’ kepada mereka untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa bagi menghadapi cabaran dan kos hidup yang semakin meningkat.

Pada masa yang sama, kakitangan awam juga harus bersedia untuk menerima apa juga keputusan kerajaan yang mungkin tidak dapat memenuhi kesemua permintaan mereka.

Jika kerajaan dapat menunaikan kesemua tuntutan itu, ia adalah ‘hadiah’ kepada mereka yang begitu setia dan gigih untuk bersama-sama kerajaan membangunkan negara.

Ini kerana permintaan CUEPACS itu bolehlah diibaratkan seperti permintaan anak-anak dalam sebuah keluarga besar dengan kerajaan dianggap sebagai ketua keluarga.

Andainya ketua keluarga itu kurang kemampuan, sudah semestinya anak-anak mereka juga perlu memahami bebanan yang harus ditanggung untuk membesarkan mereka.

Kemampuan

Jika kerajaan kurang kemampuan kerana semakan gaji itu melibatkan kos yang besar, sewajarnya kakitangan awam memahami masalah itu dan menerima apa juga keputusan kerajaan nanti dengan hati terbuka.

Biarpun begitu, Presiden CUEPACS, Omar Osman begitu optimis terhadap komitmen kerajaan yang memberi perhatian terhadap tuntutan mereka.

‘‘Kenyataan PM yang JPA sedang membuat pertimbangan aktif terhadap tuntutan CUEPACS menunjukkan Perdana Menteri begitu prihatin terhadap kakitangan awam terutama mereka yang berada dalam kumpulan sokongan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini.

Bagi Omar, apa yang diharapkan oleh kerajaan ialah setiap kakitangan perlu memberi perhatian bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja untuk bersama-sama dengan kerajaan membangunkan negara.

Beliau mengakui itulah cabaran yang dipikul oleh CUEPACS dan kakitangan awam agar tidak melupakan tanggungjawab mereka supaya imej dan maruah mereka tidak tercemar jika kerajaan menunaikan tuntutan tersebut.

‘‘Jika tidak mereka (kakitangan awam) akan terus berada pada takuk lama dan ini sudah pasti akan mengecewakan kerajaan dan menyukarkan tuntutan-tuntutan lain dibuat pada masa depan jika ia tidak dibalas dengan komitmen kerja yang setimpal,’’ jelasnya.

Omar seterusnya menegaskan, tindakan perusahaan atau mogok bukanlah jalan penyelesaian sebaliknya, meja rundingan antara pihak kesatuan sahaja dapat menyelesaikan apa juga masalah dan harapan diluahkan oleh kakitangan awam kepada kerajaan.