02 May 2009

Pengorbanan ikhlas doktor jarang dihargai

Berita Harian

SEBAGAI doktor yang sudah berkhidmat dengan masyarakat selama lima tahun, hati kecil saya sangat sedih dengan kecaman masyarakat yang selalu mencerca kami. Mungkin masyarakat tidak mengenal dunia kami seutuhnya. Mungkin masyarakat menganggap pekerjaan kami ini penuh glamor seperti digambarkan dalam drama yang disiarkan di televisyen. Tiada media atau drama yang memberi gambaran sebenar.

Sejak hari pertama menjejakkan kaki di Fakulti Perubatan, semua kami mempunyai cita-cita untuk membantu masyarakat dengan memberi layanan kesihatan terbaik. Enam tahun bertungkus-lumus menimba ilmu siang dan malam untuk mempersiapkan diri mendampingi masyarakat nanti. Tiada waktu untuk bersuka ria seperti kawan di fakulti lain.

Kami harus berusaha jadi yang terbaik daripada yang terbaik. Tiada ruang untuk gagal dan banyak daripada teman kami terkandas di tengah jalan, malah ada yang gila tidak mampu bertahan dengan tekanan ketika belajar.

Untuk mendapat tempat di Fakulti Perubatan sangat susah tetapi untuk meneruskan pengajian sehingga selesai pengajian berkali ganda susahnya. Selepas selesai pengajian, menjejakkan kaki di alam pekerjaan sebagai doktor, hidup ini bagaikan tidak ada lagi. Dua tahun tidak dapat melihat matahari kerana sudah masuk bekerja pada jam 5.30 pagi dan habis bekerja sehingga 9 malam.

Makan tidak menentu, kadang-kadang makan daripada makanan pesakit yang berlebihan dengan keadaan terburu-buru, pakaian pun tidak berganti dan ibadat pun tunggang-langgang. Tidak tidur sampai 36 jam adalah perkara biasa bagi kami. Hari Sabtu atau Ahad tiada maknanya bagi kami. Isteri dan anak pun tidak dipedulikan. Namun kami tetap tabahkan hati untuk masyarakat. Apa masyarakat pernah untuk melihat semua itu? Berapa nyawa yang kami selamatkan setiap hari pernah dihitung? Bagaimana dengan datuk, nenek, ayah, emak, kakak, abang, adik dan saudara mara yang diubati oleh tangan kami pernah dinilai? Bagaimana bayi yang baru lahir ke dunia ini disambut dengan penuh kasih sayang oleh kami, pernah dihargai?

Tidak ada yang peduli pada apa yang kami lakukan, semua yang buruk diperbesar-besarkan. Kesalahan yang sentiasa dicari, peguam bagaikan 'jerung lapar' yang menanti untuk membaham kami. Media beratur-atur mencari berita sensasi tanpa perlu menyiasat kebenarannya. Seolah-olah kami ini tidak letih, tidak tidur, tidak makan, tidak memerlukan waktu untuk berehat atau pun sekadar melelapkan mata sekejap.

Apa yang kami berikan untuk masyarakat adalah yang paling ikhlas. Tiada sambutan hari doktor perlu diadakan sebagai bukti atas keikhlasan kami pada masyarakat. Harapan pada teman seperjuangan, marilah kita terus berusaha untuk meningkatkan iltizam demi kesucian profesion kita sebagai doktor. Ingatlah selalu sumpah Hippocrates.

SUARA DOKTOR,
Pahang.

1 comment:

Anonymous said...

Ikhlas xder maknanya kalau merungut...once u choosed this job and u know what u gonna face...and we know u're a human too...tp kadang2 dr juga ada buat kesilapan...so nobody perfects... setiap complaint ada sebabnya...itu hak patients...