SPA patut utamakan pekerja pengalaman isi jawatan kosong
Berita Harian
SAYA pemohon yang berdaftar di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) sejak 2004 tetapi belum dipanggil untuk temu duga sehingga kini. Saya tamat pengajian daripada institut pengajian tinggi awam (IPTA) pada 2003 tetapi keputusan tidak begitu cemerlang dan kini bekerja di sektor swasta yang boleh dikatakan berpengaruh di Malaysia dan antarabangsa.
Saya berterima kasih dan gembira apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan bajet mini tahun ini antara lain menyatakan 63,000 pegawai kontrak akan diisi dalam agensi awam. Bagaimanapun, apa yang ingin saya persoalkan ialah sistem pengambilan pekerja yang dilaksanakan SPA selama ini. Adakah SPA hanya mengambil calon yang mempunyai keutamaan atau cuma sekadar melepaskan batuk di tangga.
Hari ini, saya sebagai rakyat Malaysia melihat ramai kakitangan kerajaan yang baru dilantik SPA tidak mempunyai pengalaman atau kepakaran, cuma bergantung kepada kecemerlangan akademik. Sejak kebelakangan ini ramai calon dilantik SPA berumur antara 23 hingga 25 tahun dan tidak mempunyai pengalaman kerja. Adakah ini mencukupi bagi mengukuhkan atau memajukan sektor awam di negara kita? Adakah SPA cuma menitikberatkan kecemerlangan akademik dan tidak pengalaman kerja?
Apa yang saya lihat hari ini ialah segelintir pekerja awam tidak berdisiplin, tidak pandai berhubung di antara jabatan lain ibarat makan gaji buta tanpa melakukan kerja sukar. Ia seperti tidak adil kepada pekerja swasta yang bekerja keras dan berpenat lelah dari pagi hingga ke malam untuk mencari rezeki menanggung kehidupan sekarang.
Sebaliknya, kakitangan sektor awam hanya ke pejabat untuk membuat kerja ringan dan mempunyai banyak masa untuk berehat dan menerima gaji lebih tinggi daripada kakitangan di sektor swasta. SPA harus mengkaji semula cara pengambilan pekerja sektor awam kerana tidak semestinya calon yang muda dan cemerlang akademik dari IPTA/IPTS layak mengisi kekosongan jawatan di sektor awam berbanding calon yang mempunyai pengalaman di sektor swasta tetapi tidak cemerlang ketika di IPTA/IPTS.
Golongan muda ini perlu pendedahan kerja di sektor swasta terlebih dulu kerana pengalaman kerja penting bagi memotivasikan diri dan membentuk keyakinan. Selain itu, saya dapat melihat pada hari ini, sektor swasta lebih ke hadapan dan cara bekerja juga lebih sistematik berbanding sektor awam.
Oleh itu, wajarkah dibiarkan sehingga rosak susu sebelanga, baru perubahan drastik dilakukan. Kecemerlangan perlu dibentuk daripada akar umbi bagi menjamin kejayaan pada masa depan. Ia amat penting kerana negara kita, mempunyai Wawasan 2020. Saya dan rakan lain yang sudah lama memohon SPA tetapi tidak berkesempatan berkhidmat di sektor awam amat kecewa tidak diberikan peluang. SPA perlu mengkaji semula cara melantik calon yang benar-benar berkebolehan untuk bekerja dan bukan hanya pada kecemerlangan dalam bidang akademik tetapi pengalaman kerja perlu dititikberatkan kerana pengalaman adalah penting dan amat berharga daripada segala-galanya.
Insan kecewa,
Puchong, Selangor.
1 comment:
dalam setiap borang permohonan kerja tak ada disertakan pengalaman kerja kebanyakkannya tetapi saya dapat rasakan pemilihan diambil jika kita ada orang dalam. tidak kiralah ada pengalaman ke, keputusan tak baik ke. saya sendiri sudah mohon dari 2006 tidak ada satu pun yang panggil kerja. takkanlah kena pergi cari surat dari org berpengaruh dulu kot, orang yang spm keatas keputusan tak baik pun dah lama dapat kerja. entahlah
Post a Comment