SPA diminta utamakan pekerja berpengalaman isi kekosongan
Berita Harian
SAYA ingin merujuk surat 'Insan Kecewa,' Puchong bertajuk, 'SPA patut utamakan pekerja berpengalaman isi jawatan kosong' yang disiarkan ruangan ini, 29 April lalu. Sebagai kakitangan awam yang sudah 15 tahun berkhidmat, saya menyokong pandangan penulis yang meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) membuat kajian semula terhadap pengambilan calon yang benar-benar layak untuk mengisi kekosongan.
Tahun ini, terlalu ramai kakitangan yang dilantik SPA daripada golongan muda dan baru tamat pengajian. Wajarkah semua kakitangan yang dilantik ini daripada golongan muda? Ke manakah perginya golongan berpengalaman?
Adakah mereka tidak layak mengisi kekosongan di SPA? Sebaliknya, mereka yang berpengalaman inilah yang amat diperlukan bagi meningkatkan kemajuan kerja di jabatan kerajaan. Golongan muda dan mentah ini perlu pendedahan kerja terlebih dulu di sektor swasta kerana mereka baru melangkah ke dunia pekerjaan dan tidak mempunyai kepakaran serta sukar membuat keputusan.
Sekarang ramai pekerja muda dan baru ini datang ke pejabat hanya bermain komputer, melayari internet, berborak dan sebelum waktu rehat sudah meninggalkan pejabat dan lewat masuk semula.
Ada juga kakitangan muda yang tidak menghormati orang lebih tua ketika mesyuarat. Mereka hanya membuat kerja hanya selepas menerima arahan pihak atasan. Adakah ini dikatakan kakitangan yang layak untuk mengisi jawatan di sektor kerajaan?
Berbeza dengan kakitangan yang berkhidmat dengan syarikat swasta, mereka bekerja sepenuh hati tanpa disuruh dan waktu rehat adalah terhad, malah kadangkala tidak ada masa untuk berehat atau makan hanya kerana untuk menyiapkan kerja dalam tempoh diberikan. Oleh itu, saya menyokong pandangan ‘Insan Kecewa,’ iaitu SPA harus memberikan keutamaan terlebih dulu kepada pekerja berpengalaman bagi mengukuhkan lagi jabatan kerajaan di negara ini.
AZMI,
Cheras,
Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment