Menteri jawab doktor merintih
Utusan Online
KUALA LUMPUR 1 Mei - Kes rintihan seorang doktor yang terlalu penat akibat menjalankan tugas panggilan aktif (on call) melebihi 24 jam tanpa henti jarang berlaku di hospital kerajaan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kes itu adalah terpencil dan ia mungkin terjadi di sesetengah hospital kerajaan yang kekurangan kakitangan perubatan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, setiap doktor yang diminta bertugas secara on call diperuntukkan masa berehat dalam tempoh tugasannya.
"Sekiranya berasa terlalu penat, mereka dibenarkan untuk berehat.
"Selain itu, hospital kerajaan mempunyai prosedur di mana setiap doktor hanya perlu bertugas secara on call sekali atau maksimum dua kali dalam masa seminggu,'' jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia bagi mengulas rintihan seorang doktor yang mendakwa terlalu penat selepas menjalankan tugas on call selama 36 jam dan hanya dapat tidur selama sejam dua melalui ruangan Forum Utusan Malaysia hari ini.
Tiong Lai menambah, doktor terbabit berhak untuk memohon berehat sehari selepas menjalankan tugasnya.
Oleh itu, katanya, tidak timbul masalah bagi mereka yang perlu bertugas secara on-call.
Dalam pada itu, katanya, doktor berkenaan berhak membuat aduan sekiranya tidak berpuas hati dengan aturan itu.
"Kerajaan atau pihak pengurusan hospital tidak berhak memaksa doktor bekerja melebihi masa yang sepatutnya.
"Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang tidak puas hati dan berasa hak mereka dirampas, maka mereka boleh membuat aduan kepada kementerian," katanya.
Ditanya mengenai usaha kerajaan untuk meningkatkan bilangan doktor dalam menangani masalah kekurangan doktor di hospital kerajaan, Tiong Lai berkata:
"Kami sedang berusaha mengambil lebih ramai doktor dari luar negara untuk berkhidmat di hospital kerajaan.
"Masalah kekurangan doktor ini bukan satu masalah yang dapat diselesaikan dalam masa singkat, tetapi kami yakin bahawa ia dapat diperbaiki dalam tahun ini," jelasnya.
1 comment:
stupid explanation. might as well just shut up
Post a Comment