28 April 2009

Najib Cadang Sistem Kemasukan Pelbagai Peringkat

PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mencadangkan jawatan-jawatan utama sektor awam dibuka kepada bakat-bakat daripada sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selain perkhidmatan tadbir dan diplomatik.

Perdana Menteri berkata pembaharuan struktural perkhidmatan awam itu dicadangkan demi kepentingan rakyat.

"Kita tidak boleh lagi terlalu dogmatik, kita perlu mendapatkan bakat yang terpilih, terbaik dan tersaring demi kepentingan rakyat," katanya pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kesepuluh di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Beliau berkata cadangannya mengenai kaedah sistem kemasukan pelbagai peringkat ke dalam perkhidmatan awam itu akan dapat memanfaatkan proses "cross fertilisation" di antara bakat-bakat sektor awam dan sektor swasta serta GLC.

Beliau juga mencadangkan satu dasar pintu terbuka dengan pegawai-pegawai perkhidmatan awam boleh dipinjamkan ke GLC dan sebaliknya untuk saling menimba ilmu.

Najib berkata dengan cara itu pegawai perkhidmatan awam boleh didedahkan kepada keperluan sektor swasta yang merupakan peneraju utama pertumbuhan negara.

Bagi mendapatkan bakat yang terbaik, katanya, perkhidmatan awam perlu mencontohi pelan pembangunan kerjaya dan pencarian bakat yang diamalkan seperti Petronas, Permodalan Nasional Berhad dan Bank Negara yang mempunyai sistem pengenalpastian bakat yang mantap serta telah menjadikan mereka organisasi yang hebat.

"Kita akan menghantar yang terbaik di kalangan penjawat awam untuk menimba ilmu di beberapa institusi tersohor di dunia seperti Kennedy School of Government di Universiti Harvard dan Wharton Business School di Universiti Pennsylvania," katanya.

Perdana Menteri juga menggariskan empat anjakan paradigma yang perlu dilakukan oleh perkhidmatan awam dalam proses modenisasi sektor itu.

Pertamanya anjakan daripada ketegaran kepada keanjalan dengan anggota perkhdmatan awam seharusnya menyedari bahawa kerajaan tidak mencipta kekayaan dan sektor swastalah yang mencipta kekayaan.

Najib berkata sektor awam perlu menjadi pemudah cara kepada penciptaan kekayaan tanpa mengenepikan peranan mereka sebagai pemelihara kepentingan awam.

"Penjawat awam sekali-kali tidak boleh menjadi penghindar proses penciptaan kekayaan ini kerana jika mereka berbuat demikian, yang akan rugi pada analisa akhirnya adalah rakyat," katanya.

Beliau berkata dari kekayaan yang dicipta oleh sektor swasta, kerajan mempunyai saham yang dikutip di dalam bentuk cukai korporat dan hasil itu seterusnya diguna bagi membangunkan negara dan untuk membayar gaji kakitangan awam.

Anjakan paradigma kedua ialah beralih daripada budaya pengeluaran dan perbelanjaan atau kesan nyata semata-mata kepada mementingkan aspek penghasilan secara holistik.

"Perkhidmatan awam harus menganjak paradigma daripada menilai kejayaan yang berasaskan output kepada kejayaan yang berasaskan outcome," katanya.

Misalnya, Perdana Menteri berkata dalam bidang pelajaran, bukan sahaja jumlah sekolah atau makmal yang mencukupi harus diberi penekanan tetapi perhatian yang utama harus diberikan kepada soal kejayaan menyeluruh termasuk kebajikan dan moral pelajar.

Contoh lain pula ialah penekanan bukan kepada bilangan mesyuarat yang diadakan atau kekerapan lawatan ke luar negara tetapi kepada apakah hasil yang tercapai daripada mesyuarat dan lawatan yang dibuat.

Najib berkata anjakan paradigma ketiga ialah anjakan daripada birokrasi yang menyukarkan kepada birokrasi yang memudah cara dan menyenangkan rakyat.

Kini terdapat tanggapan bahawa pentadbiran awam telah menjadi begitu "bloated" (mengembung) dan berada di belakang keluk perubahan negara dan global sedangkan kerajaan membelanjakan satu perempat daripada perbelanjaan pengurusan setiap tahun untuk emolumen sektor awam.

Emolumen sektor awam berjumlah RM28 bilion pada 2006, RM32 bilion (2007), RM41 bilion (2008) dan rakyat tertanya-tanya adakah perbelanjaan itu berbaloi, katanya.

Beliau berkata rungutan rakyat mengenai khidmat kaunter dan sukar mendapatkan perkhidmatan melalui telefon menyebabkan tanggapan buruk rakyat terhadap perkhidmatan awam sebagai penyusah bukannya sebagai pemudah cara.

"Kenapa masih memegang teguh kepada birokrasi yang menyusahkan, beranjaklah kepada birokrasi yang bersifat memudah cara," katanya.

Najib berkata salah satu langkah terbaik ialah Lembaga Hasil Dalam Negeri dengan kaedah e-filingnya yang merupakan pendekatan yang memudahkan serta penuh kreativiti dan innovasi.

Anjakan paradigma yang keempat pula daripada produktiviti semata-semata kepada gabungan produktiviti, kreativiti dan inovasi.

Beliau berkata ukuran produktiviti secara konvensional hanya memberikan kita penambahbaikan secara bertokok manakala jika digabungkan produktiviti dengan kreativiti dan inovasi ia akan memberikan penambahbaikan secara anjakan berganda.

Produktiviti yang digabungkan bersama kreativiti dan innovasi mampu melonjakkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam, katanya.

Najib berkata tanggapan bahawa setiap masalah boleh diselesaikan dengan menubuhkan jabatan atau agensi baru atau menambah kakitangan adalah pandangan yang ketinggalan zaman.

"Kita perlu mengawal saiz kerajaan kerana kerajaan tidak tahu semuanya atau mempunyai penyelesaian kepada setiap permasalahan. Realitinya, era kerajaan besar dan kerajaan mengetahui segalanya sudah berakhir," katanya.

Beliau mahukan semua jabatan dan agensi kerajaan memaksimumkan aplikasi kreativiti dan inovasi dan matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan kepuasan hati pelanggan sektor awam yang utama iaitu rakyat.

-- BERNAMA

No comments: