28 April 2009

Cuepacs: Tidak wajar Saravanan dedah doktor culas

M'Kini

Kesatuan sekerja Cuepacs hari ini melahirkan rasa "kesal mendalam" terhadap cara timbalan menteri Wilayah Persekutuan menangani kes dua doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang "culas" bertugas.

Datuk M Saravanan sepatutnya lebih berhati-hati dan diplomasi, dan tidak menghebohkannya di akhbar, kata setiausaha agung kesatuan itu, Ahmad Shah Md Zin.

"Memang sebagai seorang ahli politik, beliau meraih beberapa poin, tapi siapa yang teraniaya?" katanya, lapor Bernama.

Beliau mengulas kejadian semalam di unit kecemasan HKL apabila
Saravanan "mengesan" seorang doktor sedang membaca akhbar dan seorang lagi membuat kerja sendiri ketika ramai pesakit menunggu di luar.

Ahmad Shah berkata walaupun Cuepacs tidak akan membiarkan kakitangan awam yang tidak menjalankan kerja dengan baik, tetapi dalam kes ini, adalah amat tidak adil bagi Saravanan menghebohkan kejadian itu yang mungkin merupakan hanya satu kes terpencil.

Ahmad Shah berkata sebagai tanda beradab, Saravanan boleh membawa perkara itu kepada pengarah hospital dan menteri kesihatan daripada menghebohkannya kepada media dan seluruh dunia.

Menurut agensi berita itu lagi, beliau berkata bukan saja doktor malah seluruh kakitangan awam "amat tersinggung" dengan apa yang dilakukan Saravanan.

Tambahnya, para doktor terutama mereka di unit kecemasan
hospital di seluruh negara amat tertekan dan bekerja bagi tempoh yang lama melayani bilangan pesakit yang ramai.

Purata para doktor ini mengendali kira-kira 70-100 kes sehari dan majoriti menjalankan kerja dengan baik memberikan khidmat cemerlang walaupun menghadapi pelbagai kendalaan.

Ahmad berkata publisiti negatif menjejas teruk semangat bukan saja doktor malah semua kakitangan awam.

"Kami harap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengambil perhatian tentang ini dan menasihatkan menteri- menterinya agar tidak bertindak melampaui batas," katanya seperti dilaporkan.

Beliau memberi jaminan bahawa Cuepacs sentiasa terbuka untuk menegur kakitangan awam yang gemar ponteng dan ia akan sentiasa bekerjasama dengan ketua-ketua jabatan untuk mendisplin kakitangan seperti itu.

No comments: