28 April 2009

Menteri arah sedia laporan dakwaan doktor 'curi tulang'

Kementerian hanya ambil tindakan jika kes didapati benar

KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengarahkan Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL) segera menyediakan laporan lengkap berhubung dakwaan dua doktor di Jabatan Kecemasan hospital terbabit yang ditangkap 'curi tulang' oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M Saravanan, kelmarin.

Beliau berkata, jika dakwaan Saravanan benar, kementerian tidak akan bertolak ansur dan mungkin mengambil tindakan disiplin terhadap kedua-dua doktor terbabit.

"Kita tidak boleh menuduh dan menghukum kedua-dua doktor terbabit secara melulu. Justeru, saya sudah mengarahkan Pengarah HKL menyerahkan laporan lengkap secepat mungkin bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil terhadap doktor terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan mengejut ke pusat pemeriksaan kesihatan di Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan dua doktor di jabatan kecemasan HKL ditangkap `curi tulang' kelmarin kerana membaca akhbar dan melakukan kerja peribadi, ketika lebih 20 pesakit menunggu mendapatkan rawatan.

Kes curi tulang itu terbongkar apabila Saravanan, kebetulan pergi ke situ untuk melawat seorang pelajar universiti yang cedera selepas dilanggar kereta dipandu pemandu beliau.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menyifatkan dakwaan dua doktor di Jabatan Kecemasan hospital itu ditangkap `curi tulang' boleh memberi imej buruk kepada perkhidmatan kerajaan.

Beliau berkata, kementerian memandang berat dakwaan itu dan sudah menggerakkan siasatan segera, termasuk meminta laporan penuh daripada pihak HKL.

"Motto Kementerian Kesihatan ialah `Kami Sedia Membantu' dan ia mesti diaplikasi oleh semua agensi di bawah kementerian ini, termasuk hospital. Bagi pihak hospital, keutamaan mereka ialah pesakit.

"Sudah tentu kementerian memandang berat dakwaan seumpama itu (doktor curi tulang) kerana ia boleh memberi imej buruk kepada perkhidmatan kerajaan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, pula berkata pegawai Kementerian Kesihatan perlu lebih kerap turun padang membuat pemeriksaan mengejut untuk meninjau kualiti perkhidmatan hospital kerajaan.

No comments: