28 April 2009

Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Sambut Baik Cadangan Cuepacs

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia menyambut baik cadangan Cuepacs mengenai pengeluaran 10 peratus gratuiti kepada kakitangan awam sebelum bersara.

Presidennya Hamzah Masri dalam kenyataannya hari ini berkata pengeluaran wang ganjaran pesaraan itu dapat memberi peluang kepada kakitangan awam membantu kerajaan merancakkan lagi rangsangan ekonomi.

"Dalam keadaan ekonomi sekarang sumber kewangan itu dapat membantu meringankan beban serta dapat mengelakkan mereka daripada terjebak meminjam daripada ceti haram serta timbulnya masalah sosial yang lain," katanya.

Semalam, Presiden Cuepacs Omar Osman mencadangkan agar kerajaan membenarkan pekerja sektor awam mengeluarkan lima hingga 10 peratus daripada jumlah ganjaran perkhidmatan masing-masing sebelum bersara.

Ini membolehkan kira-kira 1.3 juta kakitangan sektor awam menampung perbelanjaan harian mereka bagi menghadapi cabaran krisis kewangan global yang tidak stabil.

-- BERNAMA

No comments: