02 May 2009

Soalan TK1, TK2 Gred C17 dibatal

Berita Harian

KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk surat 'Sumazau Team' Keningau, Sabah mengenai 'Soalan PTK mengelirukan' yang disiarkan ruangan ini, 9 April lalu.

Pengadu inginkan penjelasan berhubung soalan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) sesi Ogos 2008 dan sesi Mac 2009 bagi Kertas TK1 dan TK2 Pembantu Makmal Gred C17 yang dikendalikan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Kementerian Pelajaran.

Soalan yang digubal didapati menggunakan Pekeliling Perbendaharaan yang terdahulu dan perkara ini dikesan MPM ketika sesi Validasi Kunci Jawapan pada kedua-dua sesi peperiksaan berkenaan. Bagi memberi keadilan kepada calon, soalan berkenaan dibatalkan dan tidak diambil kira dalam pengiraan markah agar calon tidak kerugian atau menjadi mangsa.

Sebagai usaha penambahbaikan, Bahagian Pembangunan dan Penilaian Kompetensi sedang menyemak semula sukatan peperiksaan PTK sedia ada dan penggubalan item bagi sesi Ogos 2009 dengan mengambil kira perubahan pindaan Akta/ Pekeliling dari semasa ke semasa.

RUBAAYAH OSMAN,
Ketua Pegawai Perhubungan Awam,
Kementerian Pelajaran.

No comments: