12 December 2007

Omar kekal Presiden CUEPACS

Utusan Online

KUALA LUMPUR 11 Dis. – Omar Osman mengekalkan jawatan sebagai Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) selepas tidak dicabar pada konvensyen kesatuan itu ke-24 di sini hari ini.

Walaupun terkejut kerana menang tanpa bertanding berikutan belum pernah ada dalam sejarah CUEPACS jawatan presiden tidak dicabar, beliau menyifatkan kepercayaan ahli-ahli kesatuan itu sebagai satu amanah.

Katanya, beliau sudah bersedia untuk memikul cabaran dan tanggungjawab yang lebih berat yang diamanahkan kepadanya itu.

“Dengan kepercayaan tinggi yang diberikan oleh ahli, saya sebenarnya akan ditanggung pelbagai perjuangan yang lebih mencabar sesuai dengan perkembangan semasa.

“Untuk itu, saya bersedia melakukannya dalam erti kata kerja berpasukan dengan semua anggota dan sokongan rakan-rakan daripada kesatuan kerja yang lain ,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejayaannya mengekalkan jawatan sebagai presiden kesatuan untuk kakitangan sektor awam itu apabila menang tanpa bertanding dalam pemilihan yang berlangsung hari ini.

Omar berkata, kejayaan CUEPACS selama ini merupakan hasil daripada satu kerjasama erat antara barisan Exco dan ahli-ahli terhadap beliau.

“Ini menunjukkan ahli-ahli CUEPACS menyedari bahawa pertandingan atau cabar-mencabar kepimpinan tidak memberikan faedah di saat rekod perjuangan CUEPACS kini begitu mendapat perhatian dan pertimbangan wajar daripada banyak pihak.

“Malah semua pihak berhak memimpin dan menyuarakan pendirian serta pendapat manakala saya akan memastikan semua ini didengar dan diambil perhatian serius,” katanya.

Menurutnya, pelbagai tumpuan akan diberikan oleh CUEPACS untuk tempoh tiga tahun lagi dalam kepimpinannya.

No comments: