14 December 2007

Proses kenaikan pangkat guru ikut prosedur

Berita Harian

KEMENTERIAN Pelajaran merujuk kepada surat bertajuk 'Proses DG 29 ke DG 32 terlalu lama' oleh 'Guru Kecewa, Pendang, Kedah' yang disiarkan 12 Disember lalu. Kenaikan pangkat dari gred DGA29 ke gred DGA32 adalah melalui dua laluan seperti berikut:

Kenaikan pangkat dari gred DGA29 ke gred DGA32 secara time-based Khas untuk Penyandang (KUP). Calon tidak perlu memohon tetapi diperakukan oleh Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

Calon perlu memenuhi syarat seperti berikut:

a) Berkhidmat sekurang-kurangnya 10 tahun pada gred DGA29.

b) Disahkan dalam perkhidmatan.

c) Mencapai tahap prestasi yang ditetapkan.

d) Lulus semua penilaian tahap kecekapan ditetapkan.

e) Diperakukan Ketua Jabatan/Perkhidmatan.

Surat siaran bagi urusan di atas dikeluarkan kepada semua JPN pada awal tahun. Sebagai contoh, bagi urusan 2007, surat siaran dikeluarkan Mac lalu. JPN pula akan mengedarkan surat siaran itu kepada semua calon di sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD). Kementerian akan mengemukakan perakuan untuk pertimbangan Lembaga Kenaikan Pangkat selepas menerima perakuan lengkap daripada JPN.

Kenaikan pangkat daripada gred DGA29 ke gred DGA32 secara hakiki - Kenaikan pangkat itu berdasarkan kekosongan jawatan. Calon perlu mengemukakan permohonan melalui JPN. Calon perlu memenuhi syarat seperti berikut:

a) Disahkan dalam perkhidmatan.

b) Capai tahap prestasi ditetapkan.

c) Melepasi semua penilaian tahap kecekapan ditetapkan.

d) Diperakukan Ketua Jabatan/Perkhidmatan.

Surat siaran bagi urusan dikemukakan kepada semua Jabatan Pelajaran Negeri setahun lebih awal. Sebagai contoh, bagi urusan 2008, surat siaran dikeluarkan pada Mac lalu.

JPN pula akan mengedarkan surat siaran itu kepada semua sekolah/PPD. Surat siaran dikeluarkan setahun lebih awal bagi memastikan pengisian jawatan lancar.

Mulai tahun ini, pemberitahuan mengenai urusan kenaikan pangkat ke gred DGA34, DGA32 hakiki dan DGA32 time-based sudah dimaklumkan/dihebahkan melalui laman web kementerian.

Kementerian mengemukakan perakuan untuk pertimbangan Lembaga Kenaikan Pangkat selepas menerima perakuan lengkap daripada JPN. Kelulusan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) adalah satu syarat perlu dipenuhi calon sebelum dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat.

Calon perlu memenuhi syarat lain yang ditetapkan selain PTK sebelum layak dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat. Calon boleh menyemak dengan Bahagian Sumber Manusia, kementerian bagi memastikan sama ada mereka memenuhi syarat kenaikan pangkat yang ditetapkan atau permohonan/perakuan sudah dikemukakan kepada Kementerian.

RUBAAYAH OSMAN,
Ketua Unit Perhubungan Awam
Kementerian Pelajaran Malaysia

No comments: