Honorarium: CUEPACS positif PM tunaikan permohonan
KUALA LUMPUR 10 Dis. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tetap positif kerajaan akan menunaikan permohonan mereka, sekali pun tidak ada khabar gembira diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa merasmikan konvensyen tritahunan kongres itu di sini hari ini.
Presiden kongres, Omar Osman berkata, keyakinan itu lahir berdasarkan kepada respons Perdana Menteri dalam ucapan perasmiannya yang meminta CUEPACS berbincang secara langsung dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkenaan permohonan mereka.
“Kita akan aturkan pertemuan dengan KSN awal tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian konvensyen itu.
CUEPACS sebelum ini memohon antara lain supaya kerajaan memberikan honorarium sebanyak RM2,000 kepada semua kakitangan awam sebagai ganti bonus; melanjutkan umur pesaraan dari 56 sekarang ke antara 58 dan 60 tahun; dan mengkaji semula sistem Pencapaian Tahap Kecekapan.
Omar dalam ucapan aluannya sebelum itu secara terbuka memohon kepada Abdullah agar mempertimbang permohonan kongres termasuk pemberian honorarium itu sempena sambutan 50 tahun kemerdekaan negara.
“Memang kita tak nak bonus sebab kenaikan gaji yang kita dapat (baru-baru ini) itu dah banyak. Tetapi sempena 50 tahun merdeka ni, kita mohonlah ada sagu hati 50 tahun jubli emas kemerdekaan negara. Kita tak mendesak, kita mohon, biar dapat seringit pun tak apa,” katanya.
Mengulas lanjut perkara itu kepada pemberita, Omar berkata, Abdullah mungkin tidak mahu mengumumkan sebarang khabar baik kepada kakitangan awam hari ini kerana bimbang akan berlaku lagi kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
“Tadi Perdana Menteri tak cakap tak dapat. Beliau cuma minta kita jumpa terus dengan KSN,” katanya, dan menambah dengan memberi honorarium secara "flat rate" (kadar sama rata) kerajaan tidak perlu mengeluarkan peruntukan yang besar berbanding pemberian bonus.
Pada masa ini, kakitangan awam dianggar seramai 1.2 juta dan 1.1 juta daripadanya adalah anggota kesatuan yang bergabung dengan CUEPACS.
Omar berkata, pihaknya juga yakin khabar gembira akan menanti kakitangan awam berhubung PTK dalam Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bulan depan.
“Berdasar kepada taklimat yang diberi kepada kami sebelum ini, JPA menerima pakai 80 peratus daripada cadangan yang kita buat dalam kertas kerja kita kepada mereka.
"Antara lain kita mohon supaya peperiksaan dimansuhkan untuk Kumpulan 1 hingga 16, sebaliknya penilaian dibuat berdasar prestasi kerja.
“Bagi Kumpulan 17 hingga 43 pula, kita minta supaya penilaian ditukar kaedahnya iaitu dibuat berdasar kepada kursus dan seminar. Kita juga cadang mereka dinilai berdasar bidang kerja mereka.
“Kita tak nak lagi ada exam (peperiksaan) ni sebab ia tak mencerminkan prestasi sebenar kakitangan awam itu,” katanya, dan menambah bahawa CUEPACS yakin kedua-dua saranan itu adalah antara penambahbaikan yang dibuat JPA berkenaan PTK.
Beliau berkata, pemansuhan peperiksaan PTK bagi kumpulan 1 hingga 16 itu akan membabitkan sekitar 500,000 kakitangan awam.
Selain itu, katanya, CUEPACS dalam kertas kerja itu juga menyarankan supaya kakitangan yang lulus PTK pada aras 4 mesti menerima kenaikan gaji.
- Bernama
No comments:
Post a Comment