11 December 2007

Sektor awam perlu tingkat kecekapan

Utusan Online

KUALA LUMPUR 10 Dis. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu kakitangan awam merancakkan lagi momentum untuk meningkatkan kecekapan mereka bagi membolehkan sektor itu muncul sebagai antara yang terbaik di dunia.

Perdana Menteri percaya dengan kesungguhan kakitangan awam, perkara itu tidak mustahil dan boleh dicapai.

‘‘Kita sudah ada momentum dan kena teruskan supaya ia boleh bergerak dengan cepat, sebab kita nak jadikan ia satu kebiasaan,’’ katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Tritahunan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di Wisma MCA di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam dan Presiden CUEPACS, Omar Osman.

Abdullah berkata, usaha untuk menambah nilai dalam perkhidmatan sektor awam dan seterusnya mengangkat kedudukan negara merupakan misi nasional.

Beliau percaya dengan kekuatan yang ada di kalangan anggotanya, perkhidmatan awam negara akan menjadi pemangkin ke arah memajukan sektor swasta dan memakmurkan lagi negara.

‘‘Dengan kemajuan yang ada pada kita, pelabur tidak akan teragak-agak untuk datang melabur, peniaga dan pengusaha takkan ragu-ragu untuk berniaga kerana di negara ini sudah ada kemudahan-kemudahan untuk mereka menjalankan aktiviti mereka,’’ katanya.

No comments: