Proses DG 29 ke DG 32 terlalu lama
KERAJAAN melaksanakan satu kaedah penilaian bagi menilai kakitangan awam iaitu Penilaian Tahap Kecekapan (PTK). Dengan pelaksanaan kaedah penilaian ini, maka guru berusaha menduduki peperiksaan berkenaan.
Selepas beberapa kali mencuba menduduki peperiksaan itu dan lulus dengan baik, kami kecewa kerana terpaksa pula menunggu untuk satu jangka masa lama sebelum dapat menerima kenaikan.
Tidak dapat dipastikan apakah kelewatan proses itu satu dasar atau adakah kerana kelemahan pihak pengurusan. Saya ingin menarik perhatian kepada tiga kes bagi menyokong hujah kelewatan ini.
Kes pertama: Selepas menduduki PTK pada Disember 2005, sudah dua tahun menunggu untuk mendapat perubahan dari DG 29 ke DG 32.
Tempoh dua tahun bukanlah satu jangka masa pendek kerana kita berada dalam era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang serba canggih. Di manakah punca kelambatan ini?
Kes Kedua: Seorang rakan menduduki peperiksaan PTK pada Disember tahun lalu. Rakan saya ini hanya mempunyai tiga tahun lagi tempoh untuk khidmat kerana akan mencapai usia 56 tahun.
Selepas tiga kali mencuba, beliau lulus PTK yang diduduki pada Disember 2006. Tetapi agak mengecewakan kerana hingga kini sudah setahun menunggu dan entah berapa lama lagi harus menunggu untuk dinaikkan ke DG 32.
Kes Ketiga: Seorang rakan lain menduduki peperiksaan PTK pada Jun 2006 tetapi hingga kini masih menunggu dan entah berapa lama lagi harus menunggu kerana belum mendapat apa-apa pekeliling arahan untuk diproses kenaikan pangkat beliau.
Ini adalah tiga contoh kes yang dihadapi guru. Tidak dapat dipastikan kelewatan ini berlaku kerana kelemahan Kementerian Pelajaran atau Jabatan Pelajaran Negeri.
Diharapkan pihak kementerian dapat memberi perhatian terhadap kelewatan sebegini agar guru tidak rasa kecewa.
GURU KECEWA,
No comments:
Post a Comment