11 December 2007

3 kakitangan JPJ ditahan BPR

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Badan Pencegah Rasuah (BPR) menahan tiga kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana disyaki bekerjasama dan menerima rasuah daripada sindiket pemasangan pelekat khas pada cermin lori bermuatan 36 tan supaya kenderaan itu dan pemandunya ‘kebal’ daripada dikenakan tindakan.

Seorang daripada kakitangan itu bertugas di Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Putrajaya, manakala dua lagi di pejabat JPJ Selangor. Mereka ditahan dalam satu operasi khas di Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan ketika dihubungi semalam, mengesahkan penahanan ketiga-tiga kakitangan JPJ itu, tetapi enggan mengulas lanjut.

Mengikut kenyataan Ibu Pejabat BPR, semalam, kakitangan terbabit mendalangi kegiatan pemasangan pelekat dengan membebaskan pemandu lori dalam sekatan jalan raya dan jika ditahan, pemandu itu hanya dikenakan saman atas kesalahan kecil, bukannya membabitkan kesalahan lebihan muatan.

“Kakitangan JPJ itu juga dikatakan melantik orang tengah bagi mencari pemandu lori baru yang berminat menggunakan pelekat berkenaan dan orang tengah itu turut mengutip wang bayaran bulanan daripada pemandu.

No comments: