Showing posts with label Omar Osman. Show all posts
Showing posts with label Omar Osman. Show all posts

12 February 2008

Omar jumpa PM bincang pembayaran honorarium

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Presiden Cuepacs, Omar Osman diberi tanggungjawab oleh kesatuan itu untuk berbincang terus dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai pembayaran honorarium kepada kakitangan awam.

Majlis Jawatankuasa Tertinggi Cuepacs yang bermesyuarat di sini, semalam, membuat keputusan itu selepas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, didapati 'segan' untuk berbuat demikian.

Omar berkata, Cuepacs tiada pilihan selain menghantar wakilnya sendiri menemui Abdullah untuk mendapatkan pertimbangan beliau, tambahan pula cadangan pembayaran honorarium itu sudah mendapat 'restu' Abdullah sebelum ini.

"Cuepacs akan menghantar surat kepada Pejabat Perdana Menteri bagi menetapkan tarikh pertemuan itu.

"Kami harap dapat bertemu Perdana Menteri bagi membincangkan perkara itu sebelum 28 Februari ini," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Majlis Jawatankuasa Tertinggi Cuepacs dihadiri 14 naib presiden, sembilan pegawai tertinggi serta 14 penolong setiausaha kerja.

Omar berkata, pertemuan itu bagi mengetahui permintaan 1.2 juta kakitangan awam untuk mendapatkan honorarium atau sagu hati RM2,000 sebagai ganti bonus.

Mengulas lanjut, Omar berkata, kesatuan itu tidak berhasrat membelakangkan Mohd Sidek, tetapi beliau sendiri yang 'segan' untuk membawakan perkara berkenaan kepada Perdana Menteri.

"Perdana Menteri sebelum ini mengarahkan kami berbincang dengan KSN (Ketua Setiausaha Negara) dan kemudian mengemukakan cadangan mengenai kewajaran pembayaran honorarium itu.

"..kami sudah berbincang dengan KSN, tetapi beliau tidak mengemukakan cadangan itu kepada Abdullah, maka kami perlu melakukannya sendiri," katanya.

Omar berkata, Cuepacs berharap daripada pertemuan itu nanti, kerajaan akan membuat keputusan segera sama ada bersetuju atau menolak permintaannya kerana ahli kesatuan sudah terlalu lama me-nunggu.

Konvensyen Cuepacs September lalu memutuskan untuk meminta pembayaran honorarium sebanyak RM2,000 setiap seorang bagi membolehkan mereka menampung kenaikan kos sara hidup.

Pembayaran itu juga adalah sebagai ganjaran atas kesetiaan kakitangan awam yang berjaya mempertingkatkan mutu perkhidmatan awam yang berada pada tahap keenam di kalangan negara dunia yang mempunyai lebih 20 juta penduduk.

Omar berkata, pemberian sagu hati adalah wajar dalam keadaan sekarang kerana 850,000 daripada 1.2 juta kakitangan awam berpendapatan rendah dan sederhana, sedangkan kenaikan pendapatan daripada pelarasan gaji pada Julai lalu dihakis oleh kenaikan harga barang.

Mohd Sidek pada 5 Februari lalu dilaporkan berkata, beliau belum berbincang dengan Perdana Menteri mengenai honorarium itu kerana sebagai penjawat awam beliau berasa segan untuk meminta kerajaan membayar sagu hati kerana kerajaan sudah memberi kenaikan gaji yang besar kepada kakitangan awam.

Katanya, dalam tempoh enam bulan, kenaikan gaji kakitangan awam membabitkan RM4 bilion dan jumlah itu adalah lebih besar daripada bonus yang lazim mereka terima.

12 December 2007

Omar kekal Presiden CUEPACS

Utusan Online

KUALA LUMPUR 11 Dis. – Omar Osman mengekalkan jawatan sebagai Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) selepas tidak dicabar pada konvensyen kesatuan itu ke-24 di sini hari ini.

Walaupun terkejut kerana menang tanpa bertanding berikutan belum pernah ada dalam sejarah CUEPACS jawatan presiden tidak dicabar, beliau menyifatkan kepercayaan ahli-ahli kesatuan itu sebagai satu amanah.

Katanya, beliau sudah bersedia untuk memikul cabaran dan tanggungjawab yang lebih berat yang diamanahkan kepadanya itu.

“Dengan kepercayaan tinggi yang diberikan oleh ahli, saya sebenarnya akan ditanggung pelbagai perjuangan yang lebih mencabar sesuai dengan perkembangan semasa.

“Untuk itu, saya bersedia melakukannya dalam erti kata kerja berpasukan dengan semua anggota dan sokongan rakan-rakan daripada kesatuan kerja yang lain ,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejayaannya mengekalkan jawatan sebagai presiden kesatuan untuk kakitangan sektor awam itu apabila menang tanpa bertanding dalam pemilihan yang berlangsung hari ini.

Omar berkata, kejayaan CUEPACS selama ini merupakan hasil daripada satu kerjasama erat antara barisan Exco dan ahli-ahli terhadap beliau.

“Ini menunjukkan ahli-ahli CUEPACS menyedari bahawa pertandingan atau cabar-mencabar kepimpinan tidak memberikan faedah di saat rekod perjuangan CUEPACS kini begitu mendapat perhatian dan pertimbangan wajar daripada banyak pihak.

“Malah semua pihak berhak memimpin dan menyuarakan pendirian serta pendapat manakala saya akan memastikan semua ini didengar dan diambil perhatian serius,” katanya.

Menurutnya, pelbagai tumpuan akan diberikan oleh CUEPACS untuk tempoh tiga tahun lagi dalam kepimpinannya.

01 May 2007

Kakitangan awam mesti tunjukkan kualiti untuk kikis ‘trademark’ negatif

Oleh Jami’ah Shukri Bersama Presiden Kongres Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman sempena Hari Pekerja hari ini..

APAKAH makna Hari Pekerja yang disambut hari ini, kepada warga pekerja dari sudut pandangan Cuepacs?
Hari Pekerja adalah suatu hari yang pekerja sektor awam harus mengimbas kembali peranan mereka terhadap sumbangan kepada negara. Ia bukan sekadar satu sambutan cuti umum seperti hari biasa, sebaliknya mereka perlu memahami dan menghayati pengiktirafan kerajaan atas sumbangan mereka. Selain itu, mereka perlu melihat semula semua aspek, iaitu adakah mereka sudah mempunyai pengetahuan, pengalaman dan kualiti kerja yang terbaik.Setiap tahun, sejak 1972, kita menyambut dan merayakan Hari Pekerja.

Dalam tempoh itu memperlihatkan kematangan terhadap peranan kita dalam membantu memajukan negara dari setahun ke setahun. Malah, budaya kerja lebih maju dengan dilengkapi sistem canggih, teknologi maklumat dan komunikasi (ITC) di setiap jabatan dan ini sudah tentu mewujudkan suasana persekitaran menarik.

Bagi saya, pada tahun ini dianggap bersejarah kerana dilakukan secara berbeza dengan sambutan lebih meriah membabitkan penyertaan menyeluruh kakitangan awam pada semua peringkat berbanding tahun sebelumnya. Kita mahu amanat Hari Pekerja yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu akan menjadi penyuntik semangat kepada semua anggota sektor awam, khususnya ahli Cuepacs di seluruh negara untuk meningkatkan mutu kerja mereka.

Bagaimana atur cara sambutan Hari Pekerja kali ini?

Sambutan pada peringkat kementerian membabitkan kakitangan sektor awam dan swasta akan diadakan pada 5 Mei ini, yang turut dihadiri Perdana Menteri, di Stadium Bukit Jalil, manakala sambutan peringkat Cuepacs dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diadakan pada 21 Mei, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Seramai 3,000 pekerja dari pelbagai peringkat termasuk ketua jabatan di seluruh negara dijangka menghadiri perhimpunan berkenaan. Jika tahun sebelum ini, sambutan hanya di buat di Institut Tadbir Awam Negara (Intan) membabitkan 300 hingga 400 pekerja.

Dari segi penghayatan, mungkin ia tidak mencapai tahap 100 peratus. Justeru tahun ini, kita berharap ia disambut meriah dengan menyemarakkan semangat mereka sebagai pekerja pada semua peringkat kebangsaan dan negeri. Bagi memastikan ia menjadi sambutan penuh bermakna dan mencapai matlamatnya, setiap pengarah dan ketua jabatan di setiap negeri mengaturkan majlis perhimpunan masing-masing selepas peringkat induk dibuat. Amanat Perdana Menteri itu dapat diperturunkan pada peringkat negeri.

Tema sambutan tahun ini iaitu ‘Integriti Kunci Pembangunan Negara’ dan apa signifikan dalam keadaan sekarang?

Bagi Cuepacs semangat integriti perlu dipupuk dan diserapkan kepada golongan pekerja di negara ini termasuk di sektor awam. Kita percaya dengan wujudnya integriti itu perlu diserap untuk merealisasikan sesebuah negara mencapai lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

Ciri integriti yang merangkumi sikap bertanggungjawab, jujur, amanah, berkualiti dan penerapan modal insan terbaik mampu mewujudkan sebuah pasukan pekerja lebih mantap dan berdaya saing serta kunci kepada kejayaan bagi memperkasakan pembangunan negara. Ini sekali gus dapat menjadikan Malaysia sebuah negara maju seperti disasarkan dalam matlamat Wawasan 2020.

Tema itu juga bersesuaian dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-50 tahun ini. Semangat integriti itu amat penting dan menjadi teras kepada pembangunan negara. Sektor awam kerap dikaitkan dengan amalan rasuah berikutan faktor tertentu. Bagaimanapun, kerajaan kini begitu tegas dan memberi perhatian terhadap isu rasuah dan mahu semua kakitangannya bebas daripada gejala berkenaan yang dianggap musuh kepada produktiviti dan kualiti kerja. Jika dilihat senario sebelum ini, semangat integriti tidak begitu diberi penekanan, longgar dan tidak mantap di kalangan pekerja sektor awam sehingga menimbulkan satu ‘trade mark’ kurang elok seperti kerap dikaitkan dengan rasuah dan budaya kerja yang tidak cekap.

Senario sambutan Hari Pekerja di Malaysia tidak seperti di sesetengah negara Barat, yang kerap tercetus mogok dan rapat umum membantah penindasan oleh majikan atau kerajaan. Apa pendapat Cuepacs?

Bagi sesetengah negara, sambutan Hari Pekerja dibuat penuh meriah dengan perarakan dan mempamerkan sepanduk menyatakan penghayatan mereka terhadap tarikh itu dan pada seluruh peringkat memainkan peranan masing-masing. Bahang kemeriahan itu juga amat dirasakan kerana ia dibuat sepanjang hari. Bagaimanapun, tidak dinafikan sambutan mereka ada kalanya keterlaluan sehingga menimbulkan huru-hara dan kacau-bilau menerusi demonstrasi atau berpiket, di luar kawalan.

Ini berlaku kerana mereka beranggapan pada masa itu adalah waktu paling tepat untuk membangkitkan sebarang agenda, tuntutan serta isu yang tidak mendapat perhatian daripada kerajaan.Semua pemimpin pada setiap peringkat akan berucap menyatakan ketidakpuasan hati masing-masing terhadap majikan dan kerajaan. Malah hubungan antara pekerja dan majikan serta kerajaan tidak begitu baik.

Justeru, Hari Pekerja digunakan peluang sepenuhnya meluahkan segala tuntutan mereka dengan lebih agresif. Malah sambutan mereka dilakukan oleh pekerja saja tanpa penyertaan daripada pihak kerajaan. Namun begitu, Malaysia beruntung kerana sambutan kita dilakukan dengan aman dengan mempamerkan budaya yang terbaik. Pemimpin kesatuan sekerja juga boleh bekerjasama dengan kerajaan.

Jalinan kemesraan antara pekerja, majikan dan kerajaan dapat dilihat dengan sempurna.Semua tuntutan diadakan dengan perbincangan dan rundingan secara baik antara kerajaan dan pekerja. Ini menunjukkan kelainan dan keunikan tersendiri. Kita mulakan sambutan dengan budaya kita sendiri dan tidak terikut-ikut cara negara Barat yang nampak seperti tidak bertamadun.

Apakah mesej Cuepacs kepada warga sektor awam sempena Hari Pekerja?

Sempena Hari Pekerja kita berharap semua kakitangan perlu lebih bersemangat dan mengorak langkah ke arah mewujudkan etika dan budaya kerja lebih cemerlang, produktif dan berdisiplin untuk memastikan matlamat ke arah mencapai negara maju lebih cepat. Mesej kita kepada semua pekerja perlu meningkatkan anjakan paradigma baru. Mereka juga mesti mengubah sikap bekerja dengan lebih bersemangat dan cekap, berdisiplin dalam menjalankan tugas serta berkomunikasi secara berkesan.Justeru.

Cuepacs sedang mengorak langkah untuk memastikan semua ahlinya mendapat lebih manfaat menerusi pelbagai tuntutan dari segi semakan gaji, elaun persaraan wajib supaya mereka mempunyai kadar pencen yang selesa.

Apakah isu yang belum selesai dan masih diperjuangkan Cuepacs bagi memenuhi kebajikan ahlinya?

Sempena sambutan Hari Pekerja, kita ada beberapa perkara untuk kerajaan beri perhatian dan pertimbangan demi kebajikan pekerja. Sekarang keseluruhan kakitangan awam sedang menunggu-nunggu supaya pelbagai tuntutan kita dapat dilunaskan. Dalam sambutan itu diharapkan supaya ada satu pengumuman terbaik sebagai satu hadiah istimewa dan penghargaan pihak kerajaan untuk pekerja.

Dua tuntutan yang menjadi keutamaan dan amat mendesak sekarang ialah mengenai kenaikan gaji sekurang-kurangnya 40 peratus dan lanjutan umur pesara wajib. Kedua-dua tuntutan itu dianggap seiring. Pekerja boleh merancang lebih jauh terhadap masa depan mereka.Kita percaya jika tuntutan gaji itu dipersetujui sudah pasti akan memberikan harapan dan suntikan semangat baru kepada warga kerja kita kerana tangga gaji yang diterima sekarang terutama peringkat kumpulan bawahan terlalu rendah dan tidak sesuai lagi dengan arus pembangunan negara sekarang.

Dulu kita jarang dengar ada pekerja sektor awam melakukan kerja sambilan seperti membawa teksi, tetapi sekarang ramai kakitangan awam yang melakukannya untuk menambah gaji dan menampung perbelanjaan harian yang semakin mahal. Setakat ini, berdasarkan perbincangan dan perundingan dengan pihak kerajaan dan perbahasan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat seakan memberikan satu gambaran positif dan meyakinkan terhadap tuntutan kita.

Bagi tuntutan lain seperti pertambahan jumlah kakitangan, dan sebagainya akan dilakukan pada peringkat kedua nanti. Kita mengharapkan sebagai satu suntikan kepada pekerja untuk bekerja dengan lebih bersemangat. Kita sedang membuat tuntutan supaya kerajaan memberikan cuti dua bulan bergaji penuh kepada mereka yang ingin bersara seperti diamalkan di beberapa negara lain. Ada negara yang memberikan cuti enam bulan bergaji penuh kepada pekerja yang akan bersara. Kita percaya, dengan ada peruntukan cuti itu, pekerja berkenaan boleh merancang masa depan dan membuat persediaan apa yang akan dilakukan selepas bersara nanti. Pada dasarnya kerajaan bersetuju dan kini sedang menyediakan kerja berkaitan perkara itu dan memorandum akan dihantar sedikit masa lagi. Bagaimana Cuepacs melihat peranan pekerja wanita di sektor awam. Adakah sebarang tuntutan dikemukakan khusus membabitkan kebajikan golongan itu. Dari segi kesamarataan gender, kita melihat pengagihan jawatan termasuk pada peringkat atas dilakukan secara adil. Pada peringkat kakitangan bawahan itu juga peranan mereka amat besar dan menjadi penggerak utama di dalam sektor awam. Setakat ini, kita tidak menerima sebarang aduan bahawa cuti hujung minggu Sabtu dan Ahad yang dilaksanakan itu memberi kesan kepada mutu dan produktiviti kerja di sektor awam. Setiap urusan dapat dilakukan dengan baik.

Pada 20 Mei ini, kita akan mengadakan Konvensyen Wanita Cuepacs bagi membincangkan lagi tuntutan berkaitan hak pekerja wanita antaranya cuti bersalin daripada 60 hari sekarang kepada 90 hari; lanjutan gaji penuh daripada lima anak sekarang kepada tujuh anak dan menaik taraf wad bersalin ke kelas pertama.

Kita akan menghantar memorandum kepada JPA selepas konvensyen berkenaan untuk dipertimbangkan. Bagi saya, tuntutan itu wajar kerana pekerja wanita turut memberi sumbangan besar kepada negara. Kita percaya dengan tuntutan itu tidak memberikan kesan kepada penurunan produktiviti kerja kerana pekerja lelaki di sektor awam lebih ramai berbanding wanita

27 March 2007

Cuepacs mahu semua layak wad kelas satu

Sumber: Berita Harian

SERDANG: Cuepacs meminta kerajaan menimbangkan untuk menempatkan semua kakitangan wanita yang melahirkan anak tanpa mengira pangkat dan tangga gaji, di wad kelas satu hospital kerajaan.

Presidennya, Omar Osman, berkata pihaknya menerima banyak aduan layanan tidak memuaskan, keadaan tidak selesa selain merendahkan imej kakitangan awam apabila mereka yang ditempatkan di wad kelas kedua dan ketiga.

Katanya, sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memberi kemudahan wad kelas pertama kepada kakitangan wanita yang bersalin.

“Pekerja sektor awam juga perlu diberi keutamaan sama,” katanya pada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertama Persatuan Setiausaha Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, semalam.

Beliau berkata, kerajaan tidak harus membezakan pangkat atau mengikut tangga gaji dalam menempatkan kakitangannya di wad bersalin.

“Ia menjadi tanggungjawab sosial kerana apabila berlaku perbezaan wad kelas pertama, kedua atau ketiga akan menyebabkan tekanan kepada wanita di sektor awam,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Omar berkata, kerajaan perlu mengkaji masalah kakitangan awam yang tinggal di kuarters kerajaan dan terpaksa membayar sekurang-kurangnya RM30 kepada Indah Water Konsortium Berhad (IWK).

“Mereka kebanyakannya terdiri kakitangan awam berpendapatan rendah serta tidak mendapat elaun perumahan. Ramai antara mereka tidak mampu membayar kos itu kepada syarikat berkenaan. Cuepacs meminta supaya majikan dapat membantu membayar kos berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Omar berkata, Cuepacs berharap kerajaan dapat memutuskan mengenai kenaikan gaji kakitangan awam dan lanjutan umur persaraan sehingga 60 tahun pada Mei ini sempena sambutan Hari Pekerja.

“Kita percaya kerajaan akan memberikan kata putus yang akan menggembirakan kira-kira 1.2 juta kakitangan sektor awam nanti,” katanya.

26 March 2007

Kenaikan gaji polis dapat cegah gejala rasuah – Cuepacs

Sumber : Utusan Online

KUALA LUMPUR 25 Mac – Cadangan kenaikan gaji pokok anggota polis sebanyak 20 peratus menerusi penstrukturan semula skim perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat mencegah gejala rasuah dalam pasukan keselamatan itu.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman berkata, cadangan itu wajar diperhalusi oleh kerajaan memandangkan tugas dan tanggungjawab polis kian mencabar.

Menurutnya, tugas yang dihadapi polis menuntut pasukan itu bekerja lebih keras walaupun tahap gaji anggotanya masih rendah dan tidak berbaloi dengan tugas mereka.

Katanya, kenaikan gaji itu dapat membantu usaha kerajaan dalam menangani gejala rasuah yang berlaku di kalangan kakitangan awam.

‘‘Cadangan itu secara tidak langsung akan meningkatkan produktiviti, kualiti dan integriti pasukan tersebut dalam menjalankan tugas dengan cemerlang,’’ kata Omar ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, kenaikan gaji pokok anggota dan pegawai PDRM sebanyak 20 peratus lebih tinggi daripada pekerja sektor awam lain merupakan antara cadangan penstrukturan semula PDRM yang diserahkan kepada kerajaan.

Turut diberi perhatian dalam penstrukturan semula PDRM ialah penambahan anggota dan kenaikan taraf kelulusan sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk konstabel, diploma bagi jawatan sarjan manakala ijazah untuk jawatan inspektor.

Musa berkata, penstrukturan semula itu seharusnya dilihat sebagai lonjakan bagi membaiki taraf dan meningkatkan kualiti profesionalisme anggota serta pegawai polis.

Omar berkata, kerajaan juga wajar meneliti semula gaji yang turut melibatkan agensi penguatkuasaan lain kerana mereka juga berhadapan dengan gejala rasuah.

Tambahnya, langkah itu perlu bagi membolehkan penguatkuasaan undang-undang dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

Dalam pada itu, Cuepacs bimbang dengan cadangan Ketua Polis Negara untuk menetapkan jawatan konstabel memerlukan kelayakan sekurang-kurangnya SPM.

Jelasnya, taraf kelulusan itu adalah setanding dengan penjawat awam yang bekerja sebagai pembantu tadbir dan juruteknik dalam sektor awam.