12 December 2007

Angkasa sumber inspirasi

Utusan Online

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN (WARTAWAN UTUSAN)


Mazlan Othman.

KETUA Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Prof. Datuk Dr. Mazlan Othman sudah pun memulakan tugas sebagai Pengarah di Pejabat Hal Ehwal Angkasa Lepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Vienna, Austria sehari selepas bersara.

Selang beberapa jam selepas mengimbas kad perakam waktu sebagai tanda persaraannya di Angkasa, beliau terus berlepas ke Vienna untuk menjawat semula jawatan yang pernah dipegangnya pada 1999 hingga 2002.

Bagi wanita yang pernah menerima banyak anugerah di peringkat antarabangsa ini tiada istilah rehat dalam dirinya demi memartabatkan bidang angkasa lepas.

Semasa majlis persaraannya, Dr. Mazlan memberitahu, peluang untuk memperoleh semula kehidupannya, hanya di bibir semata-mata kerana hakikatnya beliau masih mahu terus melangkah memajukan bidang yang amat diminatinya ini.

‘‘Mungkin ada yang tidak tahan dengan kerenah Dr. Mazlan di Angkasa tetapi itulah saya kerana sentiasa memaksa anda melakukan projek yang orang lain belum pernah buat, prinsip saya ialah tidak suka mengulangi perkara yang pernah dibuat.

‘‘Duit bukan segala-galanya, tapi keinginan dan cita-cita yang tinggi mengatasi segalanya. Bidang angkasa lepas merupakan satu keperluan strategik kepada negara, justeru satu perancangan strategik dan teliti perlu dilakukan.

‘‘Sewaktu menerajui Planetarium Negara kemudian Bahagian Kajian Sains Angkasa (Baksa) dan menjadikannya Agensi Angkasa Negara cukup untuk membuktikan kami buat sesuatu yang bukan untuk seronok-seronok setiap aspek menyumbang kepada visi yang cukup besar,” katanya.

Ibu kepada dua orang anak ini menyifatkan tugas yang dipikul di Angkasa sebagai satu wadah bagi kehidupan pada negara untuk menjana ilmu, kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat.

Faktor bajet sering kali menjadi tekanan kepada Angkasa tetapi bagi Dr. Mazlan biarpun bajet yang diperoleh adalah kecil, ia tetap tidak akan dilepaskan untuk menjayakan sesuatu projek.

‘‘Kalau nak buat apa-apa bajet kitalah yang selalu kena potong tetapi inilah cabarannya. Kepada anda, setiap kali kita menghadiri mesyuarat atau seminar, kepala, mata dan telinga kena peka pada peluang yang ada di depan mata.

‘‘Sepanjang 17 tahun dalam sektor awam saya tidak pernah sekali nyatakan tidak pada satu-satu peluang. Kita perlu rebut tak kira bagaimana sukar sekalipun kerana itulah masa depan kita,” tegas beliau.

Sebagai contoh, tawaran yang dibuat oleh Agensi Angkasa Lepas Jepun yang mahukan satu eksperimen daripada pelajar Malaysia untuk diterbangkan ke angkasa.

‘‘Bayangkan tempoh yang diberi hanya beberapa bulan sahaja, Alhamdulillah dalam tempoh tidak sampai tiga bulan kita berjaya siapkan eksperimen tersebut. Kesuntukan masa memang menyulitkan tetapi akhirnya dapat juga disiapkan,” katanya.

Menurut Dr. Mazlan beliau berasa amat bangga kerana kesukaran tersebut akhirnya membuktikan kemampuan pelajar tempatan melakukan sesuatu yang ekstrem.

Kreativiti

‘‘Setiap tahun buat program baru, jangan ulang yang sudah buat, yang rutin saya tak minat langsung sehinggalah ada sesuatu yang baru datang pada saya.

‘‘Inilah masanya untuk menggunakan kreativiti sendiri. Buktikan keupayaan inovasi dan seni kita. Tidak ramai yang berani menggabungkan seni dan sains tetapi inilah benda baru. Orang lain tak berani buat sebab susah. Itulah keseronokan kerja bagi saya,” katanya.

Walaupun majoriti pegawai di Angkasa masih lagi muda dan baru menamatkan pengajian, Dr. Mazlan menyifatkannya sebagai satu kelebihan kerana kemahuan untuk belajar di kalangan mereka sangat tinggi.

‘‘Pesanan saya, angkasa lepas ini terlalu luas justeru kita kena pandai berkomunikasi dengan orang-orang di dalam dan luar negara. Mungkin di sini tidak ramai tetapi di luar sana ada beratus-ratus pakar yang boleh bantu kita,” katanya.

Titisan air mata yang mengalir di pipi Dr. Mazlan jelas memancarkan betapa berat hati beliau untuk melangkah pergi kerana terlalu banyak kenangan pahit dan manis yang pasti akan terpahat kemas dalam memorinya.

‘‘Dua peristiwa penting yang tidak akan saya lupakan ialah pelancaran TiungSAT di Baikonur, Rusia dan angkasawan pertama negara Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dihantar ke Pusat Angkasa Antarabangsa (ISS).

‘‘Saya rasakan seperti batu seberat satu tan yang dipikul dilepaskan dari bahu. Apabila Sheikh Muszaphar berjaya, saya rasa seperti dua tan batu panas dilepaskan,” katanya.

Profesor Astrofizik di Universiti Kebangsaan Malaysia ini menegaskan, biarpun terpaksa berhadapan dengan kerenah banyak pihak daripada ahli politik, orang awam dan pelbagai sektor misi angkasawan pertama negara berjaya juga akhirnya.

Dr. Mazlan yang aktif di peringkat antarabangsa dan sering diundang memberikan ucaptama, menganggotai panel perbincangan dan mempengerusikan mesyuarat merupakan Ahli Lembaga Pengarah untuk Forum Angkasa Lepas dan Polisi Angkasa lepas.

Meskipun agak kecewa kerana masih ramai yang menganggap sains angkasa sebagai satu perkara yang membazir, beliau mahu para pegawai di Angkasa terus berpegang kepada integriti dan etika kerja ketika melaksanakan tugas supaya misi yang telah ditetapkan sebelum ini tercapai.

Bagi beliau, setiap permintaan perlu ditunaikan, kerana ia akan membuka lebih banyak peluang untuk memperbanyakkan program angkasa.

Pemergiannya ke Vienna bertujuan menghabiskan misi yang belum sempat diselesaikan, ini adalah landasan terbaik untuknya melangsaikan ‘hutang’ tersebut.

Beliau sebenarnya telah ditawarkan jawatan tersebut sejak beberapa bulan lepas tetapi terpaksa menangguhkannya kerana masih lagi memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Angkasa.

‘‘Saya akan terus mengharumkan nama Malaysia dan berharap agar bidang sains angkasa lepas dapat memupuk minat generasi muda untuk menerokainya dan mengikut jejak langkah Dr. Sheikh Muszaphar,” katanya.

Sebagai menghargai sumbangan besarnya, Dr. Mazlan pernah menerima anugerah perkhidmatan cemerlang dari Pejabat Perdana Menteri, Anugerah Tokoh Wanita Avon dan Anugerah Blue Planet dari Rusia.

Dr. Mazlan turut berminat dalam bidang seni dan telah mencetuskan beberapa inisiatif yang menggabungkan sains dan seni seperti pertandingan lukisan batik ‘Angkasa Sumber Inspirasiku’ dan teater angkasa.

No comments: