Kenaikan gaji sektor awam bawa kesan positif
PELAKSANAAN kenaikan gaji kakitangan awam antara tujuh dan 35 peratus berkuat kuasa Julai lalu membawa kesan positif, persidangan Dewan Rakyat diberitahu semalam.
Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata ia dilihat dengan peningkatan ketara perbelanjaan penggunaan swasta dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar yang pesat dalam tempoh Julai hingga September.
“Dalam tempoh itu, perbelanjaan swasta yang merujuk kepada sektor isi rumah meningkat 14 peratus,” katanya menjawab soalan Datuk Rosli Mat Hassan (BN-Dungun).
Dr Hilmi berkata, perkembangan itu mendorong pelaburan tempatan meningkat 13.5 peratus dan KDNK benar negara mencatat pertumbuhan 6.7 peratus dalam suku ketiga tahun ini.
“Langkah pelaksanaan kenaikan gaji sektor awam yang memberi manfaat kepada kakitangan awam berjumlah lebih satu juta serta 600,000 pesara mencergaskan aktiviti ekonomi terutama melalui peningkatan perbelanjaan penggunaan dan pelaburan swasta,” katanya.
Beliau berkata, kenaikan gaji sektor awam lazimnya dikaitkan peningkatan harga barang oleh itu, kerajaan sentiasa mengambil langkah mengurangkan kesan negatif terhadap kos sara hidup pengguna dan kegiatan ekonomi negara dengan memantau harga barang, terutama barang kawalan.
Mengenai prestasi sistem penyampaian dan produktiviti kakitangan awam selepas kenaikan gaji, Dr Hilmi berkata, kerajaan belum dapat menilai sepenuhnya kesannya kerana masih terlalu awal. - Bernama
No comments:
Post a Comment