11 December 2007

Kakitangan awam digesa terus pertingkat prestasi

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam meminta anggota perkhidmatan awam terus berusaha meningkatkan kecekapan sistem penyampaian bagi membolehkan mereka muncul sebagai antara yang terbaik di dunia.

Perdana Menteri berkata, tinjauan di kalangan rakyat mendapati prestasi perkhidmatan kakitangan awam semakin baik kebelakangan ini sekali gus membuktikan pelbagai langkah yang diambil membuahkan hasil.

Katanya, kesungguhan yang ditunjukkan kakitangan awam sekarang dan kurangnya rungutan diterima membuktikan prestasi sistem penyampaian sektor berkenaan bakal diperakukan sebagai antara yang terbaik dalam masa terdekat.

“Dulu bila bercakap pasal sistem penyampaian perkhidmatan awam ia satu hentaman terhadap kakitangan kerajaan. Selalu kena... kena saja. Bukan sikit, saya yang jadi Perdana Menteri pun berasa sakit juga, sama-sama kita berasa sakit.

“Paha kiri dicubit, paha kanan rasa sakit, paha kanan dicubit paha kira rasa sakit... kita sama-sama dalam hal ini. Kini, ia (kecekapan sistem penyampaian) sudah pun ada momentum.

“Jadi biasanya jika sudah ada momentum, maka kita perlu teruskan dengan usaha itu agar momentum ini akan terus meningkat... ia (kini) mula bergerak dengan cepat sebab itu, kita nak jadikan ia satu kebiasaan,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Tiga Tahunan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) ke-24 di Wisma MCA, di sini, semalam.

Program tiga hari itu dihadiri kira-kira 500 perwakilan yang mewakili lebih 120 kesatuan perkhidmatan awam dari seluruh negara. Konvensyen kali ini turut menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan baru bagi penggal 2008-2010.

Pada majlis ini juga, empat bekas pemimpin kesatuan iaitu Harun Zakaria, S Santasamy, Abdul Raof Sulaiman, Mohd Nor Abdullah, menerima penghargaan Cuepacs berupa pingat emas. Tiga lagi menerima pingat perak iaitu Arif Baginda, Ismail Nihat dan Mohamad Ismail manakala enam lagi menerima plak iaitu Mohd Yaakub, Tahirin Yob Mat Taha, Abdul Aziz Nuri, Krisnan Manikam, Lim Chon Wo dan Abd Rahim Mohd.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan; Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam dan Presiden Cuepacs, Omar Osman.

Dalam ucapannya, Abdullah berkata, kerajaan sudah melaksanakan pelbagai langkah dengan matlamat untuk meningkatkan keberkesanan perkhidmatan sektor awam dan ketika ini ia sudah terbukti berhasil.

Sehubungan itu, beliau berharap anggota perkhidmatan awam akan menyokong usaha terbabit menerusi pendekatan nilai tambah membabitkan semua aspek, termasuk diri mereka sendiri, agar sesuatu hasil yang baik akan menjadi lebih baik.

“Tambahkan nilai kepada diri, tambah nilai kepada kerja, tambah nilai kepada hasil kerja, tambah mutu dan sebagainya. Dengan cara itulah kita dapat meningkatkan kedudukan kita, meningkatkan kedudukan negara,” katanya.

Abdullah yang mendapat tepukan gemuruh daripada perwakilan sebelum memulakan ucapannya, turut melahirkan keyakinan kekuatan yang ada pada sektor awam mampu menjadi pemangkin membantu meningkatkan kemajuan sektor swasta sekali gus memakmurkan negara ini.

“Dengan pencapaian ini, pelabur sudah pasti tidak teragak-agak datang melabur... peniaga dan pengusaha takkan ragu-ragu berniaga kerana di negara ini sudah ada pelbagai kemudahan untuk mereka menjalankan aktiviti mereka,” katanya.

No comments: