10 December 2007

Cuepacs wujud tanda aras kerja

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Cuepacs mahu mewujudkan penanda aras mutu kerja kakitangan sektor awam sebagai pengukur kepada peningkatan prestasi dan produktiviti kira-kira 1.2 juta ahlinya.

Presidennya, Omar Osman, berkata penanda aras itu akan menjadikan kakitangan awam lebih bersedia dan berusaha untuk mencapai kedudukan bagi memenuhi prestasi dan produktiviti kerja.

Katanya, ketika ini Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah mempunyai sistem sendiri untuk mengukur prestasi kakitangan awam menerusi Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Ini termasuk Penilaian Prestasi Kerja, Sasaran Kerja Tahunan (SKT) dan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).

"Sebagai badan tertinggi (Cuepacs) yang menaungi kira-kira 1.2 juta kakitangan awam, kita akan mengkaji untuk membentuk penanda aras mutu kerja sendiri untuk membantu mencapai matlamat kerajaan bagi melahirkan kakitangan bertaraf global.

"Langkah ini juga bagi memenuhi janji Cuepacs kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memastikan mutu perkhidmatan dan produktiviti kakitangan awam terus meningkat," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Khamis lalu yang mahukan JPA menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) yang lebih tinggi bagi mengekalkan daya saing sektor awam.

Katanya, KPI juga mampu mendorong kakitangan awam menghasilkan mutu kerja berkualiti dan bertaraf tinggi, disesuaikan dengan perubahan pentadbiran dan pengurusan semasa.

Abdullah berkata, sebagai agensi kerajaan yang berpengaruh, JPA perlu memastikan skim perkhidmatan, perjawatan dan sukatan latihan kepada kakitangannya juga adalah terkini, supaya modal insan yang dilahirkan boleh bersaing dengan dunia luar.

Sehubungan itu, Omar berkata, Cuepacs menyokong penuh saranan Perdana Menteri yang mahukan daya saing lebih tinggi di sektor awam dengan menetapkan KPI yang lebih tinggi.

"Sebab itu, Cuepacs mahu mengambil langkah sama untuk membentuk penanda aras mengukur prestasi kerja dan produktiviti kakitangan awam yang akan dibincang dalam mesyuarat majlis Cuepacs," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri akan merasmikan Konvensyen Tiga Tahun Sekali Cuepacs ke-24 di Wisma MCA Jalan Ampang di sini, hari ini.

Omar berkata, Abdullah dijangka memberi amanat penting kepada kakitangan awam terutama dalam konteks meningkatkan modal insan.

Pada konvensyen kali ini, semua jawatan majlis tertingginya dipertandingkan, kecuali jawatan presiden yang akan terus diterajui Omar selepas memenanginya tanpa bertanding.

No comments: