03 August 2008

Perkhidmatan Awam Malaysia "Buta Warna," Kata Abdullah

Bernama

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Sungguhpun perkhidmatan awam Malaysia didominasi oleh satu kaum, ia adalah "buta warna", kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini, menyatakan usaha sedang dilakukan untuk meningkatkan penyertaan bukan Melayu dalam perkhidmatan itu bagi mencerminkan komposisi sebenar kaum di negara ini.

"Kami sedang melakukan semua yang kami mampu lakukan untuk meningkatkan penyertaan bukan Melayu dalam perkhidmatan awam.

Kami tidak mempunyai bilangan bukan Melayu yang mencukupi dalam beberapa bidang perkhidmatan awam. Tetapi kami mempunyai bentuk atau mekanisme lain untuk memasukkan pandangan bukan Melayu dalam proses membuat keputusan.

"Satu daripada contohnya ialah Majlis AntiInflasi yang termasuk penyertaan sektor swasta. Anggotanya terdiri daripada Melayu dan bukan Melayu.

Kami mahukan pandangan semua rakyat Malaysia dalam membuat keputusan dasar-dasar.

Kami mewujudkan institusi seperti ini supaya dasar-dasar yang dilaksanakan adalah untuk semua rakyat Malaysia dan bukan hanya untuk satu kaum sahaja," katanya semasa menjawab soalan pada Sidang Kemuncak Ke-2 Pemimpin Pelajar Malaysia di sini.

Abdullah berkata kerajaan mengakui yang perkhidmatan awam didominasi oleh satu kaum dan kerajaan tidak mahu keadaan itu berterusan di masa akan datang.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata negara menghadapi rintangan untuk merealisasikan Wawasan 2020 iaitu menjadi sebuah negara maju menjelang tahun itu, terutamanya dengan kenaikan harga petrol dan diesel dan kekurangan bekalan makanan gobal pada masa ini, yang telah mendatangkan kesan yang besar terhadap ekonomi negara.

"Untuk mencapai Wawasan 2020, kita perlukan pertumbuhan KDNK (keluaran dalam negara kasar) sebanyak enam peratus setahun sehingga 2020.

Tetapi dengan dua isu besar global ini, kita menghadapi kesukaran untuk mencapai pertumbuhan ini.

Kita perlu berdepan dengan inflasi. Kita juga berdepan dengan kos tinggi bahan-bahan binaan.

"Tetapi kita telah memperuntukkan sejumlah besar wang untuk memastikan kita mencapai pertumbuhan pada peratusan ini. Saya berjanji yang kami tidak akan berputus asa," kata Abdullah.

Kepada soalan lain daripada peserta, Perdana Menteri berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) akan menunaikan janji yang dibuatnya dalam manifesto pilihan raya umum 2004 kerana manifesto itu bukan hanya untuk penggal lima tahun dari 2004 tetapi sehingga 2020.

Katanya kerajaan telah mula melaksanakan janji pilihan raya 2004, dan ini terbukti daripada beberapa pembaharuan yang dirancang bagi badan kehakiman dan Badan Pencegah Rasuah (BPR).

"Saya telah membuat beberapa kenyataan penting mengenai perkara ini dan perubahan sedang berlaku.

Kita juga telah mula melakukan pembaharuan dalam pasukan polis dan pembaharuan itu akan diteruskan bagi disesuaikan dengan peredaran masa.

Kita juga telah melakukan perubahan dalam sektor kewangan dan pendidikan," katanya.

Bagaimanapun, Abdullah berkata langkah pembaharuan itu memerlukan masa untuk selesai dan "ia merupakan sesuatu yang tidak dapat dilakukan dengan cepat".

"Dalam membuat perubahan penting ini, adalah penting kita memastikan ketelusan dan akauntabiliti, sesuatu yang bukan mudah tetapi boleh dicapai.

Kita juga perlu mengubah mentaliti atau cara berfikir rakyat. Perubahan fizikal boleh dilakukan dengan cepat tetapi apa yang sukar ialah mengubah cara berfikir masyarakat," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata para pemimpin, dalam pada memimpin melalui teladan, juga perlu berintegriti, amanah dan dedikasi serta bertanggungjawab terhadap tindakan dan keputusan mereka.

"Satu daripada sifat paling penting perlu ada pada seorang pemimpin ialah cermin diri sendiri dan bertanya pada diri sendiri jika anda benci diri sendiri atau anda sayang pada diri sendiri.

Ini akan membuatkan anda sedar apa yang patut dilakukan bagi menjadikan diri anda lebih baik. Penilaian diri sendiri ini akan menjadikan anda seorang pemimpin yang lebih baik," katanya.

Katanya melalui peredaran masa, negara telah melalui pelbagai perubahan, daripada segi fizikal mahupun mentaliti generasi muda -- iaitu mereka lebih bermaklumat dan berpendidikan lebih baik.

Beliau berkata untuk menjadi pemimpin dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia, pemimpin itu perlu mewakili semua kaun dan fokus pada "masyarakat berbilang kaum dan pelbagai anutan agama" di negara ini.

"Di Malaysia, kita bersatu. Kita bersatu walaupun kita pelbagai dan kita perlu raikan perpaduan yang kita nikmati ini.

Kita perlu pastikan Malaysia yang aman dan bersatu ini berkekalan. Bagaimana kita nak pastikan apa yang kita capai selama ini berkekalan?

"Jawapannya mudah sahaja. Kita perlu cintai negara kita. Ini tanah air kita, negara kita.

Kita juga perlu pertahankan negara kita untuk pastikan keamanan yang kita kecapi ini berkekalan. Kita perlu bersedia untuk menghormati semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama," kata Abdullah.

Beliau berkata rakyat Malaysia mesti mengelakkan prejudis atau kebencian antara satu sama lain dan "tiada seorang pun rakyat Malaysia sepatutnya saling membenci kerana agama atau kaum".

"Kita juga tidak boleh memandang rendah terhadap mereka dari luar bandar di negara ini.

Kita boleh membenci seseorang yang jahat, yang mencetuskan kekacauan atau ketidakstabilan tetapi jangan sekali-kali membenci seseorang hanya kerana dia berlainan kaum atau agama.

Kita mesti menolak golongan ekstremis atau perkauman," katanya.

Abdullah berkata sebagai Perdana Menteri, beliau mahu rakyat kekal hidup dengan penuh harmoni, saling menghormati dan menyayangi antara satu sama lain dan menjadi "buta warna".

"Walaupun terdapat banyak rintangan dan kesulitan di laluan kita, kita perlu sentiasa berusaha untuk menjadikan negara ini sebuah negara yang lebih baik. Kemiskinan merupakan satu lagi perkara yang kita berikan penekanan.

Ia perlu dibasmi tanpa mengira kaum dan agama. Kita tidak mahu penduduk negara ini terdiri daripada mereka yang miskin.

"Kita tidak mahu menjadi seperti sesetengah negara di Afrika. Kita mahu membangunkan negara ini untuk semua rakyat Malaysia.

Kita juga mahu pastikan pengagihan kekayaan dan pendidikan dibuat secara saksama. Adalah tidak berperikemanusiaan untuk mengabaikan kanak-kanak keluarga miskin daripada mendapat pendidikan."

-- BERNAMA

No comments: