04 August 2008

4 pegawai imigresen ditahan

Berita Harian

BPR rampas RM6,000, 250 i-KAD dalam serbuan di Felda Serting Satu

BAHAU: Empat pegawai Jabatan Imigresen Johor termasuk seorang
wanita ditahan Badan Pencegah Rasuah (BPR) Negeri Sembilan kerana
disyaki menyalahgunakan kuasa dengan menawarkan perkhidmatan
mendapatkan dan memperbaharui i-KAD kepada pekerja asing di sebuah
rumah di Felda Serting Satu, dekat sini, petang semalam.

Sumber memberitahu, turut ditahan dalam serbuan sepasukan
anggota BPR ke rumah berkenaan kira-kira jam 4.30 petang selepas
menerima maklumat orang ramai iaitu dua lelaki dipercayai orang tengah
kegiatan itu.

"Pasukan itu turut merampas wang tunai kira-kira RM6,000 dan 250 i-KAD dalam serbuan itu," kata sumber berkenaan.

Difahamkan, lebih 250 pekerja asing datang ke rumah itu
seolah-olah sedang mengadakan kenduri kampung siap dengan jamuan makan
dan khemah sejak jam 8 pagi bagi mendapatkan perkhidmatan yang
ditawarkan pegawai terbabit.

Pekerja asing terbabit dikatakan perlu membayar RM100 seorang
bagi mendapatkan i-KAD itu dengan RM30 daripada bayaran yang dibuat itu
adalah untuk habuan empat pegawai terbabit.

I-KAD yang diperkenalkan sejak Mei tahun lalu itu berfungsi sebagai kad
identiti untuk kemudahan pekerja asing yang tidak perlu lagi membawa
pasport sebagai bukti pengenalan diri.

I-KAD berkenaan juga turut dilengkapi ciri keselamatan tinggi
seperti cip Alat Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) bagi kemudahan
pemilik menyemak dan memperbaharui visa, selain dapat memudahkan
pegawai penguat kuasa menjalankan semakan dan pemeriksaan kerana mereka
tidak perlu lagi membawa mesin pembaca khas untuk melihat data dalam
i-KAD kerana ia boleh dilakukan dengan menghantar khidmat pesanan
ringkas (SMS) menerusi telefon bimbit biasa.

Selain itu, i-KAD yang mempunyai 17 ciri keselamatan itu
sukar dipalsukan kerana dilengkapi sistem `ghost image' bagi gambar,
teks mikro dan logo yang hanya boleh dilihat di bawah cahaya ultra
ungu; peta Malaysia pada lapisan atas dan cetakan teks menggunakan
laser.

Pengarah BPR negeri, Roszaini Abu bagaimanapun gagal dihubungi bagi mengulas penahanan pegawai Imigresen terbabit.

No comments: