05 August 2008

Sektor Awam Diingatkan Hadapi Cabaran Untuk Bergerak Seiring Dengan Perubahan Zaman

Bernama

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Anggota perkhidmatan awam perlu sentiasa mencabar diri mereka secara berterusan untuk mencapai kecemerlangan dan mempersiapkan diri bagi memenuhi kehendak cabaran global dan masyarakat kontemporari, kata Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Timbalan Perdana Menteri juga mengingatkan sektor itu supaya tidak berasa puashati dengan pencapaian mereka memandangkan seperti masyarakat lain yang progresif, orang ramai di negara ini tidak akan bertolak ansur terhadap sikap tidak efisyen dan sebaliknya akan menuntut agar perspektif mereka didengari.

Katanya di sebalik pelbagai inisiatif yang dijalankan sejak beberapa tahun kebelakangan ini untuk meningkatkan sistem penyampaiannya, tinjauan Institut Integriti Malaysia baru-baru agak mengejutkan apabila mendapati tanggapan orang ramai terhadap sektor itu didapati menurun berbanding persepsi mereka terhadap rasuah.

"Banyak usaha yang perlu dilakukan untuk menggerakkan perhidmatan awam selari dengan peredaran masa. Perkhidmatan awam perlu melihat kepada peranan mereka dengan sepasang mata yang baru melalui lensa yang segar untuk memastikan ia mampu menghadapi cabaran yang diletakkan di hadapan dengan penyelesaian yang tidak mempunyai cacat dan cela.

Najib berkata demikian ketika menyampaukan ucaptama Persidangan Perkhidmatan Awam kali ke-13 bertemakan Hadapi Cabaran: Kepimpinan dalam Perkhidmatan Awam di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini hari ini.

Najib juga memberi amaran bahawa pengaruh kepimpinan dalam perkhidmatan awam berhubung soal nasihat dasar, pelaksanaan dasar dan membuat keputusan mempunyai kesan yang mendalam terhadap kehidupan rakyat.

Sambil memberi contoh keretakan di lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Najib mengingatkan keputusan yang tidak sempurna akan meninggalkan kesan yang besar kepada masyarakat keseluruhannya.

Sehubungan itu, beliau menggariskan tiga nilai yang menjadi teras perkhidmatan awam bagi memupuk budaya kerja cemerlang, tenaga kerja yang berdasarkan ilmu pengetahuan dan berfikiran abad ke-21.

Katanya melalui amalan budaya kecemerlangan, perkhidmatan awam mesti meletakkan standard prestasi dengan sasaran yang nyata dan pelan yang realistik bagi mencapainya.

Usaha itu memerlukan perubahan daripada amalan berteraskan input kepada pendekatan berteraskan hasil, katanya.

"Perkhidmatan awam sudah sepatutnya tidak berpuashati semata-mata dengan prestasi sederhana dan oleh itu kepimpinan di dalam perkhidmatan awam mesti menuntut standard prestasi yang tinggi.

"Kita mesti sentiasa mencabar dan memaksa diri agar tidak takut untuk melahirkan idea dan pendekatan baru," katanya.

Najib berkata sistem penyampaian perkhidmatan perkhidmatan bertaraf dunia hanya boleh dicapai menerusi standard yang tinggi dalam kerjasama antara agensi dan bukan dengan memencilkan diri masing-masing.

"Koordinasi yang lemah di antara agensi perkhidmatan awam telah menyebabkan berlakunya pertindihan fungsi dan peranan selain pembaziran dalam soal sumber dan waktu.Jurang antara penyampaian perkhidmatan di barisan depan dan pusat perlu dikurangkan.

Najib berkata pegawai perkhidmatan awam perlu menyimpan hasrat untuk menjadi tenaga kerja yang berilmu pengetahuan, yang mengutamakan hasil, sentiasa fokus, produktif, kreatif dan inovatif.

Katanya budaya ingin belajar juga menggalakkan perkhidmatan awam lebih terbuka kepada pandangan dari luar dan tidak takut untuk belajar daripada pakar antarabangsa, pasukan pemikir dan masyarakat.

"Sikap terbuka kepada percanggahan pendapat dan kritikan perlu digalakkan," katanya.

Katanya usaha perlu dibuat untuk menjenamakan semula perkhidmatan awam bagi menarik mereka yang berbakat menyertai sektor itu disamping menjadi majikan pilihan.

Antara langkah yang dicadangkan, katanya, ialah melalui pengambilan kerja, kenaikan pangkat dan pertukaran tempat kerja yang fleksibel.

"Saya percaya sistem yang baru perlu dibuat untuk menarik golongan cerdik pandai menyertai perkhidmatan awam . Ini memerlukan fleksibiliti dalam soal keperluan dan syarat di pelbagai peringkat kemasukan dalam perkhidmatan itu," katanya.

Najib juga menggesa pegawai perkhidmatan awam untuk mengamalkan cara berfikir abad ke 21 untuk sentiasa inovatif dan kreatif dalam pekerjaan.

Katanya budaya inovasi, kreativiti dan penambahbaikan perlu dijadikan budaya kerja di semua peringkat.

"Kita tidak mampu untuk tunggu dan lihat dan hanya bertindak apabila perubahan berlaku di sekeliling," katanya.

Bagi memupuk budaya itu, kepimpinan sektor itu perlu memberikan ruang untuk pegawai mereka membuat sesuatu yang baru dan menggalakkan mereka menggunakan kaedah baru daripada berpegang kepada kaedah yang lama.

Persidangan dua hari itu dihadiri 800 peserta yang terdiri daripada sektor awam dan swasta termasuk badan bukan kerajaan.

-- BERNAMA

No comments: