05 August 2008

Kakitangan Awam Diminta Jalan Tugas Tanpa Mengira Siapa Kerajaan Dipilih

Bernama

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Pegawai-pegawai awam harus bersikap berkecuali semasa menjalankan tugas tanpa mengira siapa kerajaan yang dipilih oleh rakyat, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam.

Katanya ia penting lebih-lebih lagi setelah suasana politik yang berubah selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas.

"Memandangkan suasana sekarang selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu, landskap politik dah berbeza. Ini juga memberikan perbezaan kepada cara kita buat kerja.

"Bagi pegawai perkhidmatan awam, tak kiralah siapa kerajaan yang dipilih rakyat kerana kita (perkhidmatan awam) berpegang kepada konsep berkecuali, kita kena jalankan tanggungjawab," katanya pada sidang akhbar selepas penutupan persidangan Perkhidmatan Awam di sini hari ini.

Katanya menjadi tanggungjawab ketua-ketua perkhidmatan awam di pelbagai peringkat untuk memastikan matlamat kerajaan tercapai.

"Semua pihak ada tanggungjawab masing-masing. Kerajaan menetapkan dasar membawa hala tuju ke mana negara nak pergi dan menentukan kita punya target yang perlu dicapai supaya kita menjadi sebuah negara maju," katanya.

Oleh itu, kata beliau, kakitangan awam hendaklah terus menggembleng tenaga, kepandaian dan pengalaman bagi memastikan sektor perkhidmatan menepati sasaran yang ditentukan kerajaan.

Ismail juga berkata tidak wajar untuk membandingkan mutu perkhidmatan awam di negara ini dengan di negara lain.

"Ini kerana suasana politik berbeza dan keadaan negara berbeza. Jadi kita sepatutnya berpandukan kepada KPI (Petunjuk Utama Prestasi). Kalau nak nilai kita, nilai dari segi KPI," katanya.

Persidangan Perkhidmatan Awam ke-13 itu dihadiri 750 orang pegawai pelbagai agensi kerajaan.

-- BERNAMA

No comments: