'Cuai tugas beri imej negatif'
Berita Harian
PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mengingatkan kakitangan perkhidmatan awam bahawa ketidakcekapan melaksanakan tugas akan menyebabkan persepsi negatif rakyat terhadap pentadbiran kerajaan dan menimbulkan pelbagai masalah.
Merujuk keretakan terbaru tiang Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang mendapat liputan muka depan akhbar semalam, Perdana Menteri berkata, rakyat akan menganggap masalah itu disebabkan kelemahan pengurusan kerajaan hanya dengan membaca tajuk berita itu.
"Mereka buat pelbagai rumusan dan sudah tentu rumusannya tak baik. Dulu bila rosak kita belanja RM70 juta, itu satu perbelanjaan yang besar, sekarang retak lagi... inilah cerita yang buat rakyat tak seronok, tak senang hati, bahkan marah.
"Masalah ini boleh dielak jika kita berhati-hati memastikan apa yang sudah dibaiki teguh dan tidak akan berlaku kerosakan atau keretakan. Jika semua dah dibuat dengan baik, orang tak marah," katanya berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan.
Perdana Menteri berkata, walaupun beberapa masalah yang timbul adalah disebabkan faktor luaran seperti kenaikan harga minyak mentah dunia yang menyebabkan inflasi, sebahagian besarnya adalah akibat kelemahan pentadbiran awam sendiri.
Katanya, kelemahan seperti kerenah birokrasi, keputusan tidak tepat dan kelewatan pembayaran bukan saja menyusahkan peniaga dan menjauhkan pelabur tetapi juga menyebabkan kemarahan rakyat.
"Apabila kita buat keputusan yang berhubung kait dengan rakyat, kita mesti sabar, ikhlas, jujur, bertanggung jawab dan amanah. Jangan ada nanti andaian dan fikiran yang kata kita tak bertanggung jawab, tak amanah, tak sensitif atau sombong.
"Ini membuat mereka marah, ini perbuatan kita sendiri yang kita perlu elak daripada berlaku," katanya.
Abdullah juga menegaskan pemuliharaan keselamatan dan kedaulatan negara serta penguatkuasaan undang-undang negara adalah tanggungjawab semua kakitangan awam walaupun ia bukan sesuatu yang mudah.
Beliau berkata, kakitangan awam juga perlu memperbetulkan persepsi rakyat yang dipengaruhi penyebaran pelbagai cerita karut melalui internet oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan ramai yang marah serta meragui kestabilan ekonomi serta politik negara.
"Ini kewajipan kita, kestabilan dan keamanan kita yang tentukan, bukan negeri atau orang lain. Susah tetap susah bila kita hadapi masalah, tetapi tetap tanggungjawab kita jaga keamanan... tak perlu kita minta orang jauh datang atau tuduh orang lain kerana ketidakmampuan kita untuk pastikan keamanan dan kestabilan," katanya.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, kakitangan awam perlu melaksanakan tanggungjawab sebagai satu pasukan mantap dan setia kepada organisasi.
No comments:
Post a Comment