05 August 2008

Penjawat awam Perak alami masa sukar

Berita Harian

KAKITANGAN perkhidmatan awam di Perak kini melalui masa yang sukar di bawah kerajaan baru negeri itu dengan ramai bekerja dalam tekanan, kata bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali.

Beliau berkata, dalam suasana seperti itu pelbagai program pembangunan pasti akan menjadi mangsa dan perkara itu adalah antara rintangan dan bahaya terpaksa dihadapi setiap kali berlaku perubahan suasana politik.

“Beberapa pemerhati politik menyatakan perubahan politik secara tiba-tiba di Perak berlaku secara tidak sengaja, yang menyebabkan ramai tidak bersedia untuknya termasuk kerajaan baru gabungan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas.

“Perkhidmatan awam di Perak juga tidak bersedia. Akibatnya, proses penyesuaian dan membiasakan diri mengambil masa panjang. Sehingga hari ini, tiada tanda jelas mengenai kestabilan pentadbiran dan politik,” katanya ketika membentangkan kertas kerja pada Persidangan Perkhidmatan Awam ke-13, di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di sini, semalam.

Beliau berkata, mandat yang diberikan rakyat yang memilih untuk perubahan membawa sama harapan baru melalui dasar dan rancangan sosioekonomi baru dirancang oleh kerajaan semasa.

Dalam keadaan seperti itu, katanya, insiden ketidaksesuaian berlaku dalam pelbagai aspek dengan yang paling jelas ialah perbezaan antara dasar dan pelaksanaannya.

“Perkhidmatan awam yang selama ini biasa dengan suasana bekerja di bawah kerajaan sebelumnya lebih 50 tahun mendapati sukar menyesuaikan diri dengan perubahan suasana politik yang dibawa kerajaan baru,” katanya

“Dasar baru belum difahami sepenuhnya. Pelan tindakan belum disesuaikan, manakala agenda politik baru belum diterima sepenuhnya. Akibatnya timbul rasa sangsi di kedua-dua pihak. Tahap kepercayaan terjejas,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan baru curiga terhadap kesetiaan pegawai perkhidmatan awam dengan pergerakan beberapa orang daripada mereka diintip, manakala ada yang diancam untuk dikenakan tindakan.

No comments: