Tingkat kecekapan terlebih dahulu
MERUJUK kepada laporan Utusan Malaysia 31 Julai lepas, saya
berasa amat kecewa dengan tindakan Presiden CUEPACS yang terus mendesak
kerajaan mengenai pemberian bonus dan kajian semula pemberian Elaun Kos
Sara hidup (COLA) untuk kakitangan awam dalam Bajet 2009.
Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu pada ketika ini, apa yang
sepatutnya dilakukan oleh Presiden CUEPACS ialah menyeru ahli-ahlinya
supaya melipatgandakan usaha dan meningkatkan tahap kecekapan dalam
pekerjaan.
Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Beliau terus mendesak
kerajaan untuk tetap memberikan bonus dan kajian semula pemberian COLA
yang pada dasarnya akan menambahkan beban kewangan kerajaan dan
berkemungkinan menjejaskan pembiayaan kewangan kepada sektor-sektor
yang lebih utama.
Harus diingat, imbuhan berbentuk wang ini lambat laun pasti tidak
akan mencukupi. Tiada maknanya CUEPACS mendesak kerajaan untuk terus
memberikan bonus dan kajian semula pemberian COLA jika kualiti
perkhidmatan awam masih di takuk lama.
Amat melucukan kerana apa yang boleh beliau janjikan jika tuntutan
ini ditunaikan dalam Bajet 2009 nanti hanyalah akan menganggap bajet
kali ini adalah yang terbaik untuk kakitangan awam, bukannya
peningkatan tahap kecekapan dalam pekerjaan.
Memetik kata-kata beliau yang menyebut kenaikan harga petrol dan
diesel telah menyebabkan kenaikan harga barang keperluan yang
menyebabkan kakitangan awam berpendapatan rendah dalam keadaan
tersepit; tidakkah beliau sedar bahawa berdasarkan kepada situasi
kenaikan gaji kakitangan awam yang lalu, pengumuman pemberian bonus
atau pemberian sebarang imbuhan oleh kerajaan kepada kakitangan awam
akan menyebabkan para peniaga cenderung untuk menaikkan harga barangan.
Inilah yang lazimnya berlaku. Natijahnya, tempias kenaikan harga
barangan ini akan turut dirasai oleh para pekerja swasta seperti kami
yang berusaha berhempas-pulas untuk memastikan survival syarikat kami,
yang akhirnya turut tertekan tanpa mendapat apa-apa pembelaan. Apa lagi
orang kampung yang kerjanya tidak tetap.
Akhirnya apa yang akan berlaku ialah, Presiden CUEPACS akan
mengatakan dengan kenaikan harga barangan ini, pemberian bonus atau apa
saja imbuhan dari kerajaan tidak membawa sebarang makna dan seterusnya
terus membuat pelbagai tuntutan yang lain pula.
Suka saya nyatakan, jika permintaan CUEPACS ini ditunaikan, saya
seharusnya berasa gembira kerana isteri saya juga adalah salah seorang
kakitangan perkhidmatan awam. Namun, mengambil kira tahap perkhidmatan
yang diberikan oleh kebanyakan kakitangan awam pada masa ini, lebih
baik tuntutan oleh CUEPACS ini dikaji semula.
Biarlah ia berdasarkan merit. Lebih-lebih lagi, konsep bonus adalah
imbuhan yang diberikan sebagai penghargaan kepada kakitangan di atas
pencapaian terbaik yang dicapai serta berdasarkan kemampuan semasa
organisasi/syarikat.
Maka jika organisasi/syarikat tidak mampu, usahlah dipaksa.
Janganlah sampai anda kelihatan seperti hanya pandai meminta-minta
sahaja.
Justeru, tingkatkan kecekapan dalam perkhidmatan terlebih dahulu dan
bantulah kerajaan menguruskan negara ini dengan lebih cemerlang.
Kemudian mintalah apa saja, saya yakin permintaan anda pasti akan
ditunaikan.
BULAZ BUJAMIL
Setapak
No comments:
Post a Comment