05 August 2008

Pekerja KTMB Minta Elaun Sama Seperti Yang Dinikmati Kakitangan Awam Lain

Bernama
KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) mahu kerajaan turut menaikkan gaji dan elaun kepada anggota mereka sama seperti yang dinikmati kakitangan awam yang lain.

Presiden KPPKTMB, Abd Razak Md Hassan berkata walaupun kakitangan gred sembilan dan 10 serta gred 11 dan 12 masing-masing menerima kenaikan gaji lapan dan 10 peratus pada 31 Julai lepas, namun kesan daripada kenaikan harga minyak dan barangan telah membebankan mereka.

"Kenaikan harga minyak yang disusuli dengan kenaikan harga barang telah menjadikan wang yang dibawa balik melalui gaji kami menjadi kecil," katanya pada majlis sambutan ulang tahun ke-10 penubuhan KPPKTMB di sini, Isnin.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lajim Ukin yang merasmikan majlis tersebut berkata permintaan kesatuan itu akan dipanjangkan kepada kementeriannya dan Kementerian Kewangan.

"Segala permintaan dari kesatuan pekerja akan kami pertimbangkan. Kerajaan mahukan yang terbaik untuk kesatuan pekerja," katanya.

Ketua Pengarah KTMB Datuk Mohd Salleh Abdullah pula berkata syarikat tersebut menanggung pembiayaan RM580,000 sebulan apabila menaikkan gaji kepada empat kategori pekerja tersebut serta elaun sebanyak RM830,000 sebulan kepada lebih 5,000 kakitangan.

No comments: