04 August 2008

Guru senior DG44 lambat naik gred

Berita Harian

TERAS kelima Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 ialah
memartabatkan profesion keguruan. Dasar teras ini untuk memartabatkan
profesion keguruan dengan meningkatkan kualiti, kerjaya dan kebajikan
guru.

Namun, beberapa pengumuman atau keputusan dibuat setakat ini
seolah-olah ‘menganaktirikan’ guru senior yang memiliki ijazah gred
DG44.

Segala faedah dan kebajikan yang dinikmati guru DG44 adalah
hasil keprihatinan kerajaan dan bukan hasil perjuangan kesatuan guru,
contohnya kenaikan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) daripada RM300 kepada
RM400.

Tidak tahu mengapa kesatuan guru kurang berminat untuk memperjuangkan kebajikan ahlinya pada gred berkenaan?

Sejarah awal perkhidmatan guru senior yang berijazah ini ialah
sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah A19. Pada zaman Sistem
Saraan Baru (SSB), ia bertukar ke gred DG3 dan apabila Sistem Saraan
Malaysia (SSM) diperkenalkan, bertukar pula ke gred DG41 dan seterusnya
gred DG44 selepas lulus PTK.

Guru gred DG44 yang senior kebanyakannya kini memegang
jawatan penolong kanan di sekolah menengah, Penolong Pegawai Pelajaran
Daerah di PPD dan ada juga yang dilantik sebagai pengetua. Mengapa
mereka lambat dan sukar dinaikkan ke gred DG48?

Ironinya ada kumpulan guru yang dengan mudah iaitu tiga tahun saja
berada di gred DG41 hendak dinaikkan ke gred DG44. Ketidakadilan
berlaku kerana ada guru yang terpaksa menunggu sehingga 10 tahun untuk
dinaikkan ke gred DG44, itupun selepas lulus PTK.

Kementerian hendaklah bersikap adil dalam menjaga kebajikan
guru. Sewajarnya guru DG44 yang senior (melebihi 18 tahun dalam
kategori guru siswazah) dipermudah untuk dinaikkan ke gred DG48.

Jangan disekat disebabkan faktor gaji. Bandingkan dengan skim perkhidmatan lain yang mudah dan cepat dinaikkan pangkat.


Guru juga ialah anggota perkhidmatan awam yang ingin maju dalam kerjaya pilihan mereka.

Kesimpulannya,
tolonglah lihat nasib guru gred DG44 yang sudah senior. Jangan mereka
diabaikan atau dianaktirikan. Permudahkanlah dan percepatkanlah
lantikan mereka ke gred DG48.

ANTIRETORIK,
Kota Tinggi, Johor.

3 comments:

Anonymous said...

Setuju dengan pendapat yang diberikan. Kesatuan guru NTUP atau pun CUEPACS lebih berminat dengan guru bukan siswazah atau pun staf sokongan. Misalnya tuntutan CUEPACS untuk menaikkan elaun ETP tu hanya utk kakitangan sokongan je. Kalau kakitangan sokongan dituntut naik ke RM 230, kakitangan awam 41 dan ke atas perlu juga diselaraskan.

Anonymous said...

saya amat bersetuju dengan pendapat di atas. kami guru-guru dg48 telah lama dianaktirikan berbanding dengan kakitangan awam di kementerian maupun jabatan. Untuk pengetahuan semua, saya telah lulus ptk3 dengan keputusan IV,IV sejak tahun 2006 dan menerima gaji maksimum pada 01/01/2006. kini sudah masuk tahun ke-3 saya tidak menerima apa-apa kenaikan gaji tahunan di dg44. Dengan kata lain, saya hanya menerima kenaikan gaji statik selama tiga tahun seolah-olah saya tiada menunjukkan prestasi dalam tugasan harian saya. Siapa yang dapat memperjuangkan nasib saya yang malang ini? NTUP atau CUEPACS? menyesal saja saya membayar yuran tahunan kepada kedua-dua kesatuan tersebut. saya pasti ramai lagi guru dg44 di luar sana mengalami nasib malang yang sama seperti saya.

Anonymous said...

Kedua-dua pendapat di atas merupaka luahan hati saya dan guru-guru dg44 yang telah lulus ptk3 sejak tahun 2006. Sehingga kini, kami yang telah berkhidmat melebihi 22 tahun masih tidak dinaikkan pangkat ke dg48 malahan kami dianiaya dengan menerima gaji statik selama 3 tahun; seolah-olah kami tidak produktif lagi dalam menjalankan tugas mendidik anak bangsa.