05 August 2008

Perkhidmatan Awam Perlu Bersikap Berkecuali Dalam Politik, Kata Zaid

Bernama

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim berkata perkhidmatan awam perlu mengamalkan sikap berkecuali dan tidak memihak dalam politik dan menjalankan tugas mereka sebaik mungkin tanpa mengira parti mana yang memerintah.

Beliau berkata perkhidmatan awam juga tidak sepatutnya berperanan sebagai ahli politik dalam menjalankan kerja mereka.

"Ahli politik dan perkhidmatan awam amat berbeza.

Persamaan yang ada pada kedua-duanya ialah sama-sama berkhidmat kepada orang ramai. Untuk mempunyai hubungan yang baik dengan orang ramai, jangan berperanan sebagai ahli politik.

"Penting bagi kakitangan perkhidmatan awam mengenal pasti kekuatan mereka dan juga memahami dasar-dasar kerajaan," katanya semasa membentangkan kertas kerja bertajuk "Kakitangan Awam Rakan Ahli Politik" pada Persidangan Perkhidmatan Awam ke-13 di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini, hari ini.

Beliau berkata perubahan dan cabaran dalam senario politik negara memang tidak dapat dielakkan.

"Bagi kakitangan awam, mereka tertakluk melaksanakan dasar-dasar kerajaan. Perlu lakukan yang terbaik untuk negara dan jangan menghakiminya," katanya.

Sementara itu, pada sidang akhbar kemudiannya, beliau menyarankan kerajaan mengkaji semula perjanjian dalam Surat Aku Janji kakitangan awam bagi melicinkan lagi kerjasama antara mereka dengan kerajaan.

"Perlu perbaharui banyak aspek dalam perjanjian itu dan juga memastikan hubungan anggota perkhidmatan awam dan ahli politik itu licin dan tiada masalah baik di peringkat Persekutuan mahupun negeri," katanya yang menyifatkan Surat Aku Janji sedia ada lebih bersifat peribadi dan tidak menyeluruh.

Kerajaan memperkenalkan Surat Aku Janji bagi menimbulkan kesedaran di kalangan pegawai awam tentang tanggungjawab mereka melaksanakan tugas dengan jujur, setia, bertanggungjawab dan profesional.

Zaid berkata perkataan "Saya yang menurut perintah" di bahagian bawah setiap surat rasmi kerajaan juga memberikan kesan negatif kerana perintah itu menunjukkan pegawai kerajaan hanya mengikut sahaja apa yang disuruh.

"Maklumlah arahan perintah itu ada yang baik dan ada yang tak baik. Jadi kita perlu fikirkan apa yang paling sesuai dengan pegawai kerajaan," katanya.

Sementara itu, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid dalam kertas kerja bertajuk "Nilai Sejagat Dalam Perkhidmatan Awam" berkata setiap rakyat negara ini serta kakitangan perkhidmatan awam perlu mengaplikasikan empat nilai asas kehidupan untuk dijadikan panduan asas dalam pelaksanaan tugas harian mereka.

Empat nilai itu ialah kata-kata yang benar atau sadik, amanah, telus dan adil bagi memperkukuhkan integriti seseorang individu itu, katanya.

-- BERNAMA

No comments: